Tempatan

Agong Dan Raja Permaisuri Berkenan Santuni Mangsa Kebakaran Kampung Baru Karak

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 05 November 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak, Bentong, Pahang.

Menurut Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 10.15 pagi tadi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Dato’ Abdul Rahim bin Muda dan Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Mohd Zulkifli bin Hashim.

Turut hadir, YBhg. Tan Sri Lim Ah Lek, YBhg. Tan Sri Chan Kong Choy dan YBhg. Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

Sejurus ketibaan, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menerima sembah taklimat oleh Pegawai Daerah Bentong berkenaan kejadian kebakaran yang telah melibatkan 161 mangsa daripada 51 buah rumah dan 8 buah kedai.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima sembah taklimat YBhg. Dato’ Sri Liow Tiong Lai, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Kampung Baru Karak, di Dewan Komuniti Kampung Baru Karak berkenaan pembinaan semula rumah dan kedai mangsa-mangsa kebakaran,” kata Istana Negara dalam kenyataan di Facebook.

Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat meninjau kawasan kebakaran dan meluangkan masa menyantuni serta mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

Tambah kenyataan itu lagi, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa kebakaran dan harapan agar mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan musibah yang telah menimpa.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak swasta yang telah menyumbangkan bantuan kepada mangsa mangsa kebakaran.”

“Semoga sumbangan dari Seri Paduka Baginda berdua dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.”

Mengakhiri titah, Baginda menitahkan supaya satu kajian pembangunan semula Kampung Baru Karak, di sini dilakukan secara holistik dengan mengutamakan ciri keselamatan.

Leave a Reply

Back to top button