Agong Dan Raja Permaisuri Agong Zahir Ucapan Tahniah Kepada Pasangan Beregu Lelaki Badminton Negara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia, semalam.
Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Kejayaan pasangan beregu lelaki badminton negara itu turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia, titah Seri Paduka Baginda berdua.
Semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia selain Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan ‘kemarau’ penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun pada Ahad.