Tempatan

Agong Dan Permaisuri Selamat Tiba Ke Tanahair

Jangan lupa sertai TelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2021 – Pesawat khas yang membawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta delegasi telah mendarat dengan selamat di lapangan terbang Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang pada jam 3.45 petang semalam selepas menamatkan Lawatan Khas ke United Kingdom.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua telah disambut oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan menjalani saringan COVID-19 di Pangkalan Udara TUDM, Kuantan dan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tiga hari sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda berdua telahpun menjalani ujian saringan COVID-19 di London, United Kingdom.

Turut hadir di Pangkalan TUDM pada petang tersebut ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan barisan EXCO Kanan negeri Pahang serta Orang Besar Berempat dan Orang Besar Berlapan negeri Pahang.

Lawatan Khas ini merupakan lawatan kali kedua Seri Paduka Baginda berdua ke United Kingdom sejak KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Lawatan Khas yang pertama telah berlangsung pada bulan Disember 2019.

Sepanjang berada di United Kingdom, Baginda berdua telah memenuhi jadual lawatan yang ditetapkan dan turut bertemu dengan komuniti rakyat Malaysia di London.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button