Tempatan

Agong Berkenan Kurnia Bantuan Kepada 216 Ketua Isi Rumah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CAMERON HIGHLANDS, 13 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan sumbangan kepada penduduk-penduduk Kampung Orang Asli Menson dan Kampung Orang Asli Sungai Relong di Cameron Highlands, Pahang.

Pengurniaan sumbangan oleh Seri Paduka Baginda itu melibatkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada 216 ketua isi rumah di dua buah kampung iaitu 63 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Menson dan 153 ketua isi rumah di Kampung Orang Asli Sungai Relong.

Pada lawatan yang berlangsung hampir dua jam bermula jam 11.00 pagi itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyantuni penerima sumbangan dengan bertanya khabar serta menasihati para penduduk agar sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan warga emas.

Seri Paduka Baginda turut bertitah sekiranya penduduk mempunyai sebarang permasalahan hendaklah sentiasa merujuk kepada Tok Batin agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan disegerakan.

Seterusnya, usai penyempurnaan majlis tersebut Seri Paduka Baginda berkenan mengunjungi Medan Selera Tanah Rata di Cameron Highlands untuk santapan tengah hari di sebuah kedai makan di situ.

Di situ, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan dan menyantuni serta beramah mesra bersama para peniaga dan pengunjung yang datang sempena hari minggu dan juga cuti persekolahan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke majlis dan kunjungan ke kedai makan disambut dan diiringi oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Syed Ahmad Khairulanwar bin Syed Abdul Rahman dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli bin Mohamed Yoosuf.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: