Tempatan

Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Munaqasyah Hari Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 09 November 2021 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri Di Bawah Naungan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Majlis Munaqasyah itu dianjurkan atas inisiatif dan cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan utama bagi membincangkan dan memperhalusi isu hal ehwal Islam di negeri-negeri di bawah naungan Baginda serta memantapkan agensi agama di setiap negeri berkenaan.

Terdapat enam kertas kerja yang dipersembahkan kepada Seri Paduka iaitu Pengawalan Aliran Pemikiran Liberal dan Pengukuhan Pegangan Agama dalam Kalangan Masyarakat Bandar; dan Pemerkasaan Mahkamah Syariah Melalui Peningkatan Hieraki Mahkamah Kepada Empat Peringkat.

Selain itu ialah kertas kerja berkaitan Kaedah Pelaburan Harta Zakat; Program iTEKAD: Memperkasa Sosioekonomi Ummah; Penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie Bagi Pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan; dan Perpecahan Umat Islam Akibat Perbezaan dan Taksub Kepada Aliran Pemikiran Agama.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke majlis itu pada pukul 10 pagi tadi disambut oleh barisan kepimpinan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan serta agensi agama Islam serta para mufti negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka.

Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka ialah Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub di bawah Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis hari ini adalah kali keempat seumpamanya dianjurkan bersama antara Istana Negara dan JAKIM dengan kali pertama diadakan pada 20 Jun 2019, kedua pada 7 Oktober 2019 dan ketiga pada 6 Februari 2020.

Rumusan daripada pembentangan kertas-kertas kerja itu akan dikemukakan oleh Seri Paduka ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-257 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 November ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: