Agihan Pegawai Kesihatan Bermula Julai Ini
PUTRAJAYA, 25 Jun 2023 – Seramai 1,825 pegawai perubatan yang sudah menamatkan latihan siswazah akan diagihkan segera ke fasiliti kesihatan terjejas ekoran penyerapan pegawai kontrak ke lantikan tetap.
Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Zaliha Mustafa berkata, hal ini merupakan langkah penyelesaian bagi menangani isu kekurangan pegawai buat sementara di fasiliti kesihatan tertentu.
BACA JUGA: Ingkar ‘Bond’ Parti, Mahkamah Arah Mantan Naib Presiden PKR Bayar RM10 Juta
BACA JUGA: Projek ECRL: 41 Orang Asli Sedia Pindah
BACA JUGA: Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang PRN, Raya Haji
“Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember depan.”
“Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan mulai bulan depan, diikuti dengan 1,150 pegawai lagi pada Ogos depan.”
Kemudian katanya, urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib.
Menurut Zaliha, selaras dengan kekosongan jawatan pada tahun ini, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Katanya, jumlah ini merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi.
“KKM sentiasa prihatin terhadap kelangsungan dan kesinambungan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan agar penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media.