Agensi Maritim Selangor Masih Mencari Nelayan Hilang
PELABUHAN KLANG, 24 Februari 2023 – Operasi mencari dan menyelamat (Op CARILAMAT) seorang pemancing yang jatuh ke dalam laut di pesisir pantai di perairan Sementa pagi semalam diteruskan pagi ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru bermula jam 7.00 pagi tadi dengan memperluaskan sektor pencarian meliputi 16 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sementa.
BACA JUGA: Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani Jam 4 Petang Ini
BACA JUGA: Minyak Sawit: Tingkatkan Usaha Kekang Kempen Negatif Media Barat
BACA JUGA: Beberapa Jalan Di Kuantan Ditutup Esok
Pengarahnya, Kapten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam memaklumkan Bot PERKASA 35 telah diatur gerak bersama aset agensi sahabat yang lain iaitu bot Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti nelayan setempat.
Cuaca di lokasi pada hari kedua pencarian dilaporkan hujan dengan kelajuan angin sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 0.5 hingga 1.0 meter awal pagi tadi.
Terdahulu, Op CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritim Malaysia telah diaktifkan pada semalam bermula jam 11.20 pagi.
Dalam masa sama, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah diwujudkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar Selangor.
Mangsa adalah lelaki tempatan, Raiman bin Suyud, 54, difahamkan bersama seorang rakan telah keluar memancing menggunakan sampan pada Rabu lalu jam 11.30 malam.
Bagaimanapun sampan mereka telah dirempuh oleh pukat tunda yang ditarik oleh sebuah bot tanpa lampu navigasi lebih kurang jam 5.30 pagi menyebabkan sampan pecah dan kedua-dua pemancing terjatuh ke dalam laut.
Mangsa difahamkan tidak boleh berenang mengalami kekejangan kaki dan dipercayai telah dihanyutkan arus deras, manakala rakannya telah berenang ke pesisir pantai dan diselamatkan oleh bot pemancing berdekatan.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju celoreng askar berwarna hijau dan berseluar Panjang berwarna putih sebelum dilaporkan jatuh laut.
Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.