NGO

AGENDA TERANCANG: HASUTAN UNTUK MENYINGKIR YDPA SECARA HALUS? – Haji Rashidi bin Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Belum reda dengan tingkah laku biadab Iswardy Morni daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), tersebar pula cadangan daripada dua orang yang mendakwa sebagai pengasas Agenda Reset Malaysia.

2. Dua individu tersebut diperkenalkan dalam artikel tersebut sebagai Dato’-Dato’ yang mencadangkan suatu pelan “reset” bagi memulihkan keadaan negara yang dikatakan sedang tenat dengan pelbagai masalah seperti ekonomi merudum, pertahanan dicerobohi, peningkatan jangkitan wabak Covid-19 dan lain lain lagi.

3. Dalam artikel panjang itu, dikatakan ada cadangan yang dibuat oleh dua orang Dato’ ini yang dikatakan sebagai pengasas Reset Malaysia telah disebar luas oleh salah seorang pengikut mereka, sejak 1 Jun 2021, berdasarkan kepada tarikh yang tercatat pada bahagian akhir artikel tersebut.

4. Cadangan dua Dato’ itu ialah supaya KDYMM Al-Sultan Abdullah diberikan cuti rehat selama enam bulan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) oleh Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) yang dijangka akan bersidang pada 30 Jun – 1 Julai 2021 nanti.

5. Dalam artikel itu juga dicadangkan supaya tugas YDPA akan dijalankan oleh Timbalan YDPA Tuanku Sultan Nazrin Shah, baginda Sultan Perak. Tidak sekadar itu, turut dilibat sama ialah Tuanku Sultan Johor sebagai Timbalan YDPA mengambil tempat Tuanku Sultan Nazrin yang telah menjadi YDPA. Cadangan ini sebenarnya menggambarkan situasi Al-Sultan Abdullah dihasratkan pelucutan jawatan baginda.

6. Tidak cukup dengan itu, penama artikel berhajat pelan cadangan di atas dilaksanakan dengan seberapa segera kononnya untuk menyelamatkan negara daripada kemelut yang melanda. Baki kenyataan yang dibuat melondehkan niat dan maksud sebenar ketiga-tiga orang tadi. Jelas menuduh KDYMM Al-Sultan Abdullah sebagai mempertahankan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

7. Tindakan individu yang menyebarkan cadangan dua orang Dato’ idolanya itu tidak boleh dipandang ringan kerana kenyataannya berunsur fitnah menghasut MRRM menggantung tugas YDPA atas tuduhan salah mengisytiharkan darurat di samping tidak melakukan sesuatu untuk menegur Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

8. Penyebaran luas kenyataan individu ini jika tidak disekat dan dikenakan tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang, sudah pasti akan diulang oleh proksi lain, tujuannya cukup jelas, menyebarkan fitnah sehingga rakyat membenci dan berani menyerang YDPA dan mencadangkan tindakan diambil terhadap Baginda.

9. Dalam keadaan negara yang masih dilanda krisis akibat penularan wabak dan ketidakstabilan politik negara, pihak berkuasa perlu tegas untuk menghalang mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh. Jangan dibiarkan suara sumbang cuba memporak-perandakan kesetiaan rakyat kepada Al-Sultan Abdullah. Pendirian Baginda melalui kenyataan-kenyataan media Istana Negara sudah jelas tidak bersifat kepartian. Saban hari dilihat Baginda semakin mendapat kepercayaan rakyat jelata.

10. Barangkali ada pihak yang risaukan kredibiliti Al-Sultan Abdullah yang berjaya meningkatkan imej institusi beraja di negara kita. Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap anasir yang tidak bertanggungjawab dan ejen penyebar fitnah.

11. Bukan itu sahaja, kenyataan yang ditularkan itu juga dilihat cuba melaga-lagakan sesama Raja-Raja Melayu. Itu sudah cukup bagi ketiga-tiga individu terbabit disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya. Natijahnya, rakyat mesti kembali berpegang kepada prinsip Rukunegara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dan ini mesti dikekalkan bagi menjamin kestabilan politik dan keharmonian rakyat dalam negara.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT
Ketua Media PEMBELA

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button