Afrika Isytihar Darurat, Krisis Tenaga Elektrik
CAPE TOWN, 12 Februari 2023 – Afrika Selatan mengisytiharkan darurat bencana kebangsaan pada Khamis lalu berikutan krisis bekalan elektrik negara itu.
“Pusat Pengurusan Bencana Negara telah mengklasifikasikan krisis tenaga dan kesannya sebagai bencana.”
“Oleh itu, kami mengisytiharkan darurat bencana negara untuk bertindak balas terhadap krisis elektrik,” kata Presidennya, Cyril Ramaphosa dalam Ucapan Negara 2023 di Cape Town.
BACA JUGA: 50% Warga Malaysia Gagal Capai ‘Minimum Living Wage’
BACA JUGA: Mungkin Perlu Tunggu Menteri Agama Kelima Selesaikan Isu Elaun Guru KAFA – CIJ
BACA JUGA: Kerajaan Perkenal Semula PEMUDAH, Lebih Mesra Perniagaan
Katanya, kekurangan bekalan elektrik yang melumpuhkan negara itu telah menimbulkan ancaman eksistensi kepada ekonomi dan struktur sosial.
“Krisis ini telah berkembang secara progresif untuk menjejaskan setiap bahagian masyarakat. Kita mesti bertindak untuk mengurangkan kesan krisis terhadap petani, perniagaan kecil, infrastruktur air dan rangkaian pengangkutan kita.”
Oleh itu, Ramaphosa berharap pengisytiharaan darurat ini membolehkan pihaknya menyediakan langkah praktikal yang perlu untuk menyokong pengeluaran makanan, penyimpanan dan rantaian bekalan runcit, termasuk pelancaran penjana, panel solar dan bekalan kuasa tanpa gangguan.
Tambahnya, seorang menteri elektrik akan dilantik untuk memikul tanggungjawab penuh mengawasi semua aspek tindak balas krisis tenaga.
Afrika Selatan mengalami gangguan bekalan elektrik yang teruk, iaitu sekitar lapan jam dalam sehari.
Masalah ini telah berlarutan selama bertahun-tahun akibat kelewatan dalam membina stesen janakuasa arang batu baharu, rasuah dalam kontrak bekalan arang batu dan sabotaj jenayah.