ADUN Gesa Kerajaan Wujudkan Elaun Rumah Sewa Buat Pelajar
KUALA LUMPUR, 14 Jun 2023 – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan Kerajaan agar mewujudkan elaun rumah sewa kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya golongan miskin dan B40 untuk menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian.
“Kenaikan kos sara hidup turut dirasai pelajar IPT dan sekali gus menjadi punca mereka tidak berminat sambung pengajian. Sudahlah dihimpit masalah ini, selepas tamat belajar pula berdepan soal bayaran semula pinjaman pendidikan dan gaji tidak setimpal dengan kelulusan masing-masing,” katanya.
BACA JUGA: Bakar Al-Quran & Sejadah, Individu Direman
BACA JUGA: MOTAC Pertimbang Bak Kut Teh Makanan Warisan
BACA JUGA: Setelah Diterjah MB, KKM Luluskan Peruntukan Khas Untuk Johor
Ujarnya, pelajar yang menyewa di luar kampus terdedah dengan manipulasi harga oleh pemilik dan ejen rumah yang mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa yang disifatkan tidak masuk akal untuk mengaut keuntungan atas angin.
Beliau mengambil contoh terdapat pemilik rumah kos rendah di Melaka menetapkan sewa rumah pada harga RM1,000 sedangkan bayaran pinjaman rumah dalam lingkungan RM500-RM600.
“Jadi tidak munasabah letak harga tinggi sehingga bebankan pelajar. Perkara ini tidak termasuk lagi menetapkan mengikut seorang pelajar, bayangkan seorang mahasiswa RM200 dan ada pula 10 pelajar, maka dia dapat untung bersih RM2,000,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Nege¬ri (ADUN) Merlimau berkata, sudah tiba masa Kerajaan me¬ngambil langkah untuk memperkenalkan elaun dan harga siling untuk menyelesaikan masalah tersebut yang berlarutan sekian lama.
“Oleh itu, Kerajaan diharapkan dapat memperkenal elaun sewa rumah bagi menampung kos sewa kediaman. Pada permulaannya, pemberian insentif tidak semestinya diberikan sepenuhnya, tetapi apa yang penting dapat diwujudkan bagi mengurangkan bebanan pelajar IPT.”
Jelasnya, beliau telah membawa cadangan itu kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Kerajaan akan meneliti hasrat tersebut dalam masa terdekat.