Tempatan

Adalah Lebih Baik Orang Islam Tidak Melawat Tempat Ritual Agama Bukan Islam Jika Tiada Keperluan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Penyebaran agama bukan Islam

Tular sekarang mengenai orang Islam yang dibawa melawat rumah ibadat bukan Islam. Lawatan tersebut mungkin bukan sekadar melawat sahaja tetapi terdapat acara yang dirancang bagi menjelaskan agama bukan Islam kepada pelawat-pelawat tersebut.

Negeri Selangor tegas menyatakan sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah dilarang sama sekali sebagaimana kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, walaupun menyambut baik program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO), namun ia mesti mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terutamanya melibatkan aspek perundangan.

Akibatnya ada kalangan pula yang mengatakan kekhuatiran melawat rumah ibadat bukan Islam kerana kepercayaan Islam yang tidak kukuh serta memperlekehkan kenyatan Exco Selangor tersebut pula.

Sesuatu ritual pasti mempunyai signifikan dan falsafahnya yang tersendiri. Apabila ritual itu berkait dengan agama, sudah tentulah kehendak agama berkenaan menjadi keutamaan atau objektif ritual tersebut. Ritual agama lain lazimnya membawa kesyirikan kepada Allah SWT kerana mereka tidak mempercayai keesaan Allah.

Jika tiada kesyirikan kepada Allah SWT dalam agama lain, pastilah ajaran agama lain akan sama dengan ajaran agama Islam. Namun hakikatnya agama lain tidak diiktiraf oleh Allah SWT sebagai agama yang benar di sisi-Nya.

Apabila umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam dan melaksanakan upacara keagamaan bukan Islam, ia membawa risiko kepada mensyirikkan Allah SWT.

Bagi umat Islam dosa mensyirikkan Allah SWT sangatlah besar dan mesti dijauhi. Ini adalah perintah Allah yang jelas. Amat jelik jika ada yang masih mengatakan tidak kurang iman seseorang itu kepada Allah jika berpartisipasi di dalam ritual agama bukan Islam yang membawa kepada syirik. Hal ini adalah disebabkan perintah Allah itu sendiri dilanggar. Bagaimanakah keimanan seseorang itu jika mengingkari perintah Allah.

Kita boleh bertaubat kepada Allah SWT atas dosa yang kita lakukan dan memohon diampunkan dosa-dosa kita itu. Namun jika dosa itu adalah dosa besar yang dibuat berulang kali pula bagaimanakah mahu kita mensanitasi dosa- dosa besar tersebut?

Dalam masa yang sama, kita mengakui hakikat Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat pengajaran atau penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam, hal yang demikian mungkin merupakan kesalahan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam dilarang di dalam undang- undang di kebanyakan negeri di Malaysia. Umat Islam juga dilarang dari melakukan ritual agama bukan Islam sahaja kerana ia mungkin akan membawa makna tertentu sehingga mensyirikkan Allah SWT.

Kita perlu fahami isu ini secara jelas bahawa konsep ketuhanan adalah berbeza di dalam pelbagai agama dan hakikat ini sudah wujud sejak zaman silam sehingga ke hari ini.

Daripada Surah al-Kafirun ayat 1-6 menjelaskan yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat sebagaimana kamu beribadat. Dan kamu tidak beribadat sebagaimana yang aku beribadat. Dan bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami.”

Oleh itu jelaslah fatwa berkenaan hanya untuk menjaga aqidah umat Islam bukan untuk mempersenda agama bukan Islam. Mereka berhak menganuti dan mengamal agama mereka, bagi umat Islam pula janganlah terjerumus ke dalam kesyirikan.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia dan terdapatnya undang-undang yang melarang penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam, kita perlu mencari formula bagaimana persefahaman antara agama ini dapat ditegakkan tetapi dalam masa yang sama tidak memprejudiskan kepercayaan agama Islam serta kedaulatan undang-undang.

Kita mesti akur dengan kedudukan undang-undang ini kerana ia merupakan undang- undang yang sedang berkuat kuasa.

Penyebaran agama bukan Islam bagi tujuan memujuk orang Islam menganut agama lain tidak patut dilakukan sama sekali kerana ia melanggar undang-undang yang berkuat kuasa bagi negeri berkenaan. Tetapi jika motifnya bagi memahami agama lain, mungkin suatu modul yang sesuai boleh digarap bagi tujuan tersebut.

Dalam hal ini saya percaya demi menjaga kemaslahatan orang Islam selagi tiada perincian tuntas mengenai lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, adalah lebih baik orang Islam tidak melawat tempat ritual agama bukan Islam jika tiada keperluan apatah lagi melakukan ritual mereka.

Biarlah mereka dengan agama mereka kita dengan agama kita.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden Persatuan Peguam- Peguam Muslim Malaysia

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: