Tempatan

Adakah Tun Berhajat Untuk Jadikan Tanah Melayu Ini Sebuah Republik? – YDP Armada Malaiu

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Oktober 2022 – “Hamba ada mengikuti Facebook Tun, Kenapa perlu pilih Gerakan Tanah Air (GTA). Ada 21 Perkara di situ. Hamba juga ada menerima jemputan dari parti Putra hari tu. Tun juga ada berucap di situ dan juga ikuti juga dalam video-video ucapan Tun. Tetapi, dalam semua itu tidak satu pun perkataan Raja di situ. Dalam pertemuan kita yang sebelum ni pun Tun ada cakap Raja takut sama saya, saya tak takut sama Raja.”

“Saya marah. Jadi, kalau kita berpandu pada Rukunegara Malaysia, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, nombor dua, Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan itu diikut ke dari dulu sampai sekarang ni? Jadi hamba nak tanya sekarang ni, kenapa tidak diperkasakan? Kita bukan sebut tentang keturunan, tetapi kita sebut tentang Institusi Raja-Raja itu. Kenapa tidak ada langsung perkataan ingin memperkasakan ataupun melestarikan ataupun memperkukuhkan Institusi Raja-Raja itu? Adakah Tun berhajat untuk menjadikan Tanah Melayu ini sebuah Republik?”

Soalan tersebut dilontar oleh Mas Kamal Ahmad Shafie, YDP Armada Malaiu Malaysia semasa sesi soal jawab dalam program Siri Dialog Pemimpin Parti Politik Melayu Islam anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang diadakan pada 25 September 2022 baru-baru ini bersama Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7.

Menjawab soalan yang diajukan YDP Armada Malaiu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed berkongsi mengenai pemerintahan Negeri-Negeri Melayu pada zaman dahulu. Sistem pemerintahan pada waktu itu merupakan pemerintahan Raja-Raja. Perkataan ‘Ke-Rajaan’ itu sendiri bermaksud bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan beraja. Tanpa Raja, menurut Tun Mahathir, Negeri Melayu tidak wujud dulu. Tetapi apa yang berlaku di zaman itu, Raja ada yang baik, ada yang tidak baik.

“Ada satu orang Raja yang tidak ada duit, dia nak kahwin anak dia empat orang. Dia hutang daripada Thailand, dia minta 5 million dollar Spanish, lepas itu negeri dia bankrap la kerana tak boleh bayar hutang. Itu Raja apa?”

“Ada juga Raja yang tidak ada duit jual tanah, jual Singapura, jual Pulau Pinang. Itu pasal dia berkuasa penuh, dia boleh jual, kita tak boleh kata apa. Ada Raja yang jemput orang Cina masuk untuk buka kerajaan baharu. Itu Raja apa? Kita tidak boleh soal apa-apa, kita tidak boleh kata apa-apa sebab kuasa Raja.”

“Dan kita dapati sekarang ini, ada Raja yang nak jual 1,400 ekar tanah kepada orang Cina daripada negara China. Ditambah pula dengan satu lagi projek, 1,400 ekar lagi nak jual kepada Cina Singapura. Kalau Raja berkuasa, dijual lagi la tanah kita.”

Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) itu mengutarakan pandangannya bahawa jika kita terus menyerahkan kuasa kepada Raja saja, ia tidak cukup. Kita perlu adakan penasihat kepada Raja dan penasihat tersebut perlulah memiliki keperibadian dan perasaan keMelayuan yang kuat supaya boleh dikurangkan sedikit kuasa seseorang Raja itu.

“Nak cari satu sistem yang tidak cacat, tidak ada dalam dunia ni. Sistem demokrasi pun bukanlah yang baik, ada keburukan dalam demokrasi sebab itu kita dapati dalam demokrasi pun ada Perdana Menteri yang menyangak. Dalam sistem beraja pun ada yang tidak baik. Ada Raja yang baik, ada Raja yang berkhidmat untuk rakyat tapi kemungkinan mereka jual tanah pun, mungkin jugak.”

“Jadi tidak ada sistem yang baik. Yang ada ialah manusia. Ada manusia yang baik, ada manusia yang tidak baik. Kita harap manusia yang baik itu, janganlah ambil peluang kepada yang tidak baik.”

Sistem yang sedia ada sekarang ini, menurut Tun Mahathir dapat memastikan kuasa seorang Raja dapat diseimbangkan dengan kewujudan penasihat, iaitu Perdana Menteri yang mempunyai jati diri Melayu yang baik. Tiada sistem yang sempurna, tetapi setiap sistem itu bergantung kepada manusia yang diamanahkan menjalankannya. Menurut Tun Mahathir lagi, sistem yang baik, jika diuruskan oleh manusia yang tidak baik, tidak membawa kebaikan kepada orang Melayu.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: