Antarabangsa

Penggodam Rusia Dibayar Guna Matawang Kripto

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MOSCOW, 20 Februari 2022 – Firma penjejakan dan analisis mata wang kripto, Chainalysis melaporkan lebih daripada AS$400 juta (RM1.672 bilion) wang tebusan telah dibayar menerusi mata wang kripto kepada kumpulan-kumpulan penggodam yang berkemungkinan besar akan bergabung dengan Rusia dan dipercayai mempunyai kaitan dengan Moscow.

Penganalisis Chainalysis mendakwa sejumlah besar pengubahan wang haram yang berasaskan mata wang kripto itu adalah melalui syarikat kripto Rusia. Ia adalah berdasarkan Laporan Jenayah Kripto 2022 Chainalysis berikutan kehadiran berpuluh-puluh syarikat mata wang kripto di bandar raya Moscow.

Rusia didakwa bertanggungjawab terhadap sebahagian besar serangan siber bagi menuntut wang tebusan di seluruh dunia susulan serangan siber yang berlaku tahun lepas. Sebanyak 74 peratus wang tebusan dibayar dan penggodam dipercayai berpangkalan di Rusia.

Menurut laporan itu, terdapat tiga ciri utama yang mendedahkan Rusia dalang di sebalik serangan siber tersebut.

Pertama, Rusia mengelak dari menyerang negara-negara CIS (Komanwel Negara-negara Merdeka). Hal ini kerana, banyak ransomware mengandungi kod yang menghalang enkripsi fail jika ia mengesan sistem pengendalian mangsa terletak di negara CIS. Dalam kes lain, pengendali ransomware malah telah memberikan decryptors untuk mengembalikan akses fail selepas mengetahui bahawa mereka secara tidak sengaja menyasarkan organisasi Rusia.

Kedua, kumpulan penggodam itu berkongsi dokumen dan pengumuman dalam bahasa Rusia, dan ketiga kumpulan itu didakwa mempunyai kaitan rapat dengan Evil Corp., iaitu organisasi penjenayah siber yang berpangkalan di Rusia dan kepimpinannya dipercayai mempunyai hubungan dengan kerajaan Rusia.

Menurut catatan Chainalysis di blognya, sejumlah besar penggubahan wang haram berasaskan mata wang kripto tersebut bukan sahaja hasil daripada ransomware, tetapi juga diperolehi dari perkhidmatan jenayah siber lain yang beroperasi secara besar di Rusia.

Bukan itu sahaja, lebih daripada separuh perniagaan tersebut beroperasi di Menara Persekutuan – bangunan pencakar langit Moscow City.

Minggu lalu, portal Utusan Malaysia melaporkan beberapa laman web rasmi kerajaan Ukraine mengalami serangan siber secara besar-besaran susulan ketegangan antara Rusia dan Barat termasuklah laman web Kementerian Luar dan Kecemasan mereka. Laman web kementerian luar itu turut memaparkan mesej dalam bahasa Ukraine, Rusia dan Poland. Ketegangan itu menjadi semakin genting selepas seminggu rundingan bagi mencari penyelesaian diplomatik antara Rusia dan Barat diadakan.

Menurut portal Berita Harian baru-baru ini, Ukraine mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa Rusia yang mendalangi serangan siber secara besar-besaran yang menumbangkan laman sesawang utama kerajaan itu.

Kementerian Transformasi Digital Ukraine berkata semua bukti menunjukkan bahawa Rusia yang mendalangi serangan siber tersebut termasuklah perang hibrid yang dilancarkan oleh Moscow secara terus-menerus.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: