Tempatan

ACCIN Gesa Kerajaan Perketat Penjualan Arak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 24 November 2021 – Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN) menggesa supaya kerajaan memperkenal sebuah Pelan Tindakan Nasional Kawalan Minuman Keras bagi mengawal pengeluaran, penjualan dan pembelian arak dalam kalangan masyarakat.

“ACCIN berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak tegas dan berpegang teguh pada pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Kawalan Alkohol yang berkesan untuk mengawal dan menangani bahaya alkohol kepada masyarakat,” kata Ir Mohd Jamaludin Shamsudin, CEO ACCIN.

Ujar beliau, mereka amat bimbang dengan kejadian-kejadian yang berlaku berpunca dari penyalahgunaan minuman keras.

“Umum mengetahui bahaya dan ketagihan alkohol. Kejadian-kejadian pemandu mabuk, jenayah, keganasan rumah tangga, perpecahan keluarga dan kehilangan ekonomi yang berpunca dari minuman keras semakin menjadi-jadi. Minuman alkohol juga sangat mudah diperoleh.”

Selain ACCIN, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N. V. Subbarow turut menyuarakan pandangan yang sama dalam sebuah forum anjuran ACCIN.

Beliau menggesa supaya kerajaan mengehadkan waktu penjualan minuman keras dari jam 12 tengahari sehingga 4 petang, meningkatkan harga minuman keras sebanyak 10% ke 20%, dan mengharamkan penjualan minuman keras botol kecil yang murah.

Di samping itu, Venerable Sumangala, seorang sami Buddha pula menyatakan, meminum tuak dan wain Cina telah menjadi adat dalam sesetengah budaya, tetapi masyarakat perlu sedar tidak semua adat dan budaya adalah bagus untuk mereka.

Selain itu, Jason Leong, seorang peguam dan aktivis menyuarakan kerisauan beliau tentang kes-kes di mana kanak-kanak mendapatkan minuman keras dari keluarga mereka sendiri: “Kita perlu bebaskan mereka daripada rantaian alkohol dalam kalangan keluarga,” ujar beliau.

ACCIN, dalam kenyataan sama turut memuji tindakan DBKL baru-baru ini dalam memperketat penjualan minuman keras.

Pertubuhan itu juga menyuarakan kekecewaan mereka terhadap sikap tujuh ahli politik Pakatan Harapan yang terlalu beria-ia mempertahankan penjualan arak demi menjaga kepentingan syarikat pengeluar arak tanpa mengambilkira perihal rakyat yang kian meruncing dek penyalahgunaan alkohol.

“Keprihatinan wakil rakyat terhadap perniagaan segelintir peniaga arak berbanding kesejahteraan rakyat menggambarkan keutamaan dan kepentingan mereka. Sesuatu yang amat mengejutkan apabila Ahli Parlimen ini tidak mempertimbangkan kesan penyalahgunaan alkohol dengan sewajarnya terutamanya oleh golongan miskin dan B40 yang paling terjejas dengan kesan negatif akibat dari pengambilan alkohol yang berlebihan,” kata Ir Mohd Jamaludin Shamsudin mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: