Tempatan

Abu Jahal Bertauhid, Itu Batil – UEF

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CYBERJAYA, 20 April 2022 – Pendakwah bebas, Ustaz Engku Ahmad Fadzil menyelar pegangan golongan yang galak mempromosikan akidah sistem tauhid 3 untuk ditukarkan dengan sistem akidah sifat 20 yang telah disusun oleh para ulama, sehingga tergamak mendakwa orang-orang musyrik seperti Abu Jahal dan Abu Lahab sebagai bertauhid sepertimana yang didapati dalam sistem akidah anutan mereka.

Beliau membuat penegasan sedemikian dalam Konvensyen Ulama & Da’i PEMBELA ISLAM yang berlangsung di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Engku berkata, “Ancaman akidah diserang apabila sistem yang disusun oleh para ulama kita, iaitu sistem tauhid sifat 20 diadukan, hendak digantikan dengan sistem tauhid 3.”

“Maka tujuan mereka sebenarnya, adalah untuk mempromosikan tauhid tiga – tidak kita katakan salah semua. Setakat mentauhidkan Allah sebagai Tuhan yang menciptakan itu kita terima, tetapi mendakwa orang-orang musyrik seperti Abu Jahal dan Abu Lahab juga bertauhid, ini batil.”

Beliau menolak tuduhan golongan tersebut yang mendakwa sifat tauhid 20 itu adalah bidaah kerana kononnya tidak wujud di zaman Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan isi kandungan pegangan tauhid ini sudah pun dipegang orang beriman sejak daripada zaman Nabi Adam A.S. lagi.

“Kerana apabila dikatakan bahawa sifat tauhid 20 itu adalah bidaah, tidak ada di zaman Nabi S.A.W. orang ini seakan-akan mengatakan rukun sembahyang 13 ialah bidaah semata-mata kerana penyusunannya datang kemudian.”

“Kita boleh cabar kepada mereka, apa yang bidaah dalam sifat 20? Bukan hanya ini ada di zaman Nabi S.A.W. tetapi inilah yang diimani oleh orang mukmin semenjak zaman Nabi Adam A.S.”

“Tidakkah orang mukmin percaya Allah wujud, dan Allah wujud tanpa ada permulaan, dan Allah wujud tak akan binasa, dan makhluk tidak seperti Allah dan Allah tidak sama seperti makhluk, dan Allah tidak selama-lamanya berhajat kepada yang lain, dan Allah yang Maha Esa itu dari segi sifat dan juga af’alNya?”

Beliau juga menempelak golongan itu kerana tergamak menuduh sifat 20 itu bersumberkan daripada falsafah Yunani dan bukannya berasal daripada ajaran Islam.

Ustaz Engku mengajak umat Islam untuk berhujah menjawab tuduhan mereka itu, “Ahli falsafah Yunani mana yang mengajar sifat 20? Kitab falsafah Yunani mana yang mengajar sifat 20?”

“Dan kalau benar ada ahli falsafah Yunani yang mengajar Allah wujud tanpa ada permulaan dan tidak akan binasa, tidak sama seperti makhluk dan seterusnya, bererti ahli falsafah Yunani ini adalah orang yang mukmin dan bertauhid.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: