Tempatan

Kejatuhan Nilai Ringgit Siap Sedia Kenaikan Kos Umrah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 11 Oktober 2022 – Orang ramai dinasihatkan supaya bersedia menghadapi peningkatan kos menunaikan umrah ekoran kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga tiket penerbangan.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu berkata, permintaan yang tinggi dan kejatuhan nilai ringgit berbanding riyal menyebabkan kos menunaikan umrah meningkat.

“Sebelum pandemik COVID-19 melanda, bilangan jemaah umrah lebih kurang 270,000 orang setahun. Bayangkan jumlah itu meningkat tiga kali berikutan umrah tidak dapat dilakukan pada 2020 dan 2021.”

“Jadi, permintaan lebih tinggi daripada penawaran sekali gus menyebabkan kenaikan harga. Selain itu, kemerosotan nilai mata wang ringgit juga menyebabkan peningkatan segala kos di Arab Saudi.”

Katanya, bukan itu sahaja bahkan kos pengendalian, visa, pengangkutan, tempat tinggal, makan dan minum di Arab Saudi juga telah meningkat dengan ketara bila ditambah dengan cukai nilai tambah (VAT) dan cukai perbandaran masing-masing sebanyak 15 peratus dan 2.5 hingga 5.0 peratus.

Tambahnya lagi, kos tiket penerbangan akan menjadi lebih mahal sekiranya jemaah tidak membuat tempahan awal dengan agensi pelancongan.

Jelasnya, untuk penerbangan tambahan dengan syarikat penerbangan tertentu pada musim biasa, kenaikan tambang dianggarkan antara RM250 hingga RM500 manakala kenaikan kos perbelanjaan di Arab Saudi dianggarkan RM300 seorang.

“Sebagai contoh, untuk pakej umrah bernilai RM7,500 hingga RM8,500, kenaikan dianggarkan RM300 seorang untuk yang tidak mengambil penerbangan tambahan manakala anggaran kenaikan RM550 hingga RM800 bagi yang mengambil penerbangan tambahan atau yang menempah tempat duduk tambahan dari syarikat penerbangan.”

“Jadi, bagi syarikat agensi pelancongan yang sudah membuat tempahan awal tiket penerbangan, harga tiket mereka tidak akan berubah tetapi yang berubah hanyalah cukai lapangan terbang,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan jemaah untuk membuat tempahan awal dengan agensi pelancongan mereka untuk mengelakkan kenaikan kos tiket yang tinggi.

Beliau juga menggesa pihak Kerajaan untuk melakukan sesuatu untuk menstabilkan nilai ringgit supaya kita tidak perlu berada dalam situasi seperti ini di masa depan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: