90 Peratus Jenayah Siber Berselindung Sebalik Akaun Palsu
KUALA LUMPUR, 04 Ogos 2024 – 90 peratus jenayah siber seperti buli, pornografi dan penyebaran maklumat palsu dilaporkan terjadi dengan menggunakan akaun palsu.
Tinjauan terhadap beberapa akaun media sosial yang terlibat dengan kegiatan tersebut mendapati, sembilan daripada 10 akaun menggunakan identiti palsu.
Pakar forensik digital, Prof. Madya Dr. Khairul Akram Zainol Ariffin berkata ini kerana pelaku beranggapan mereka boleh menyamar dan berselindung di sebalik perbuatan berkenaan.
“Dalam media sosial ini mudah untuk lakukan jenayah kerana kita boleh cipta akaun dummy atau palsu yang tidak menggunakan maklumat peribadi sendiri. Jadi, tidak ada kekangan untuk penjenayah atau mana-mana pihak menyamar untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.”
“Mereka rasa maklumat mereka terlindung daripada pihak berkuasa. Malah, banyak mekanisme lain untuk tidak menonjolkan peribadi pengguna seperti menggunakan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) bagi mengelak protokol internet (IP) mereka dijejaki,” katanya.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan mahu semua platform media sosial mematuhi undang-undang sedia ada di negara ini terutama dalam menurunkan segera kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.
Ini kerana masalah scam (penipuan), buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak (pedofilia) antara tiga perkara yang semakin berleluasa dalam media sosial serta membelenggu rakyat Malaysia ketika ini.
Statistik menunjukkan tahap pematuhan platform X (Twitter) adalah paling rendah antara seluruh platform media sosial lain iaitu hanya mencapai 25 peratus sahaja.
Sementara itu, Facebook mencatat kadar kepatuhan sekitar 85 peratus, Instagram (88 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus) dan Telegram (63 peratus).
Khairul Akram yang juga Pengerusi Pusat Kajian Keselamatan Siber Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, beberapa langkah perlu diambil bagi membendung jenayah media sosial.
“Dalam talian ini agak sukar kita hendak awasi kerana ia adalah ‘kawasan terbuka’, melainkan ada akta atau ada aspek daripada perundangan yang mampu mengekang penggunaan bagi mengelak perkara ini berterusan.”
“Kita boleh ambil contoh China yang mana mereka menghalang pengguna di sana menggunakan VPN,” katanya.
Beliau berkata, pengguna perlu prihatin dan peka dalam menggunakan media sosial supaya tidak terlibat atau melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan jenayah di alam maya itu tidak berleluasa.