9 Negara Arab Kecam Tindakan Serangan Sasarkan Orang Awam Di Gaza
TIMUR TENGAH, 27 Oktober 2023 – Sembilan negara Arab mengecam serangan rejim haram aparteid Israel yang menyasarkan orang awam di Gaza, lapor India Today.
Negara-negara tersebut antaranya ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar, Kuwait, Mesir dan Maghribi.
Menurut menteri-menteri luar negara-negara Arab, tindakan Israel untuk bertindak balas terhadap pejuang Hamas selepas serangan 7 Oktober lalu tidak mewajarkan mereka untuk mengabaikan hak rakyat Palestin.
“Kami menekankan bahawa hak untuk mempertahankan diri…tidak mewajarkan pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, atau pengabaian secara sengaja terhadap hak sah rakyat Palestin,” kata mereka memetik laporan tersebut.
Dalam masa yang sama, mereka turut mengutuk pemindahan paksa serta hukuman kolektif di Gaza dan menekankan bahawa “ketiadaan penyelesaian politik kepada konflik Palestin-Israel telah membawa kepada tindakan keganasan dan penderitaan rakyat Palestin serta penduduk di rantau itu.
Malah, menteri-menteri itu turut menekankan keperluan penyelesaian antara dua negara bagi memastikan penubuhan “sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat, berdampingan dan mampan berdasarkan garis sebelum 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.”
Untuk makluman, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur telah dijajah oleh Israel dalam perang Arab-Israel 1967.