9 Mati Lemas Dalam Upacara Baptisme Di Johannesburg
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AFRIKA SELATAN, 05 Disember 2022 – Sekurang-kurangnya sembilan orang telah dilaporkan mati dalam satu kejadian lemas ketika banjir kilat berlaku di Sungai Jukskei di Jonannesburg, Afrika Selatan.
Mangsa yang dilaporkan meninggal dunia itu telah dihanyutkan ketika sedang dalam upacara pembaptisan, sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak berwajib.
Berita rasmi melaporkan bahawa mereka percaya terdapat lapan lagi individu yang masih belum ditemui dan menganggarkan bahawa lebih ramai yang akan ditemui maut di dalam kejadian tragis tersebut.
Kini pihak berkuasa tempatan sedang meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat di sekitar kawasan kejadian.
Dalam kejadian yang berlaku pada 3 Disember itu, seramai 33 orang telah berkumpul di tepi sungai bagi mengadakan sebuah ritual pembaptisan. Kawasan tersebut kemudiannya dilanda ribut secara tiba-tiba dan mengakibatkan banjir kilat serta arus yang deras.
Sebelum ini, jemaah-jemaah Gereja sering mengadakan beberapa ritual keagamaan di situ, termasuklah ritual pembaptisan serta ritual penyucian.
Pada Jun lalu, empat orang telah lemas sewaktu upacara pembaptisan yang berlaku di daerah Limpopo. Pada April lalu, Jabatan Air dan Kebersihan tempatan telah mengeluarkan amaran khas bagi menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan upacara pembaptisan di sungai-sungai di negara tersebut.