87% Setuju Hukuman Mati Untuk Pengedar Dadah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 20 Oktober 2022 – Hasil kajian serantau yang dibuat Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) melalui dua fasa pada 2018 dan 2021 mendapati, 87% responden percaya bahawa hukuman mati berkesan bagi menghalang kegiatan pengedaran dadah ke republik ini dan ia menyebabkan orang ramai tidak mahu mengedar sejumlah besar dadah ke Singapura.
Kajian yang dijalankan secara berasingan oleh Bahagian Penyelidikan dan Statistik (RSD) MHA pada 2021 menunjukkan majoriti responden sangat bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah hukuman yang sesuai terhadap kesalahan mengedar sejumlah besar dadah, menggunakan senjata api atau pembunuhan dengan sengaja.
“Terdapat juga konsensus yang jelas, baik di dalam negeri mahupun di rantau ini, bahawa hukuman mati adalah berkesan dalam menghalang orang ramai daripada mengedar dadah ke Singapura.”
“Hukuman mati juga lebih berkesan daripada penjara seumur hidup jika dibuat perbandingan,” jelas MHA.
Menurut laporan media, majoriti responden turut mempunyai keyakinan terhadap polis dan biro narkotik dalam memastikan tertuduh kes hukuman mati tertakluk kepada siasatan yang adil dan ketat.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa 88.1% responden mempunyai keyakinan terhadap Jabatan Peguam Negara dan mahkamah dalam memberikan kumpulan tertuduh yang sama dengan perbicaraan adil dan ketat.
MHA berpandangan, kajian itu dijalankan adalah bertujuan untuk memahami pandangan penduduk tempatan dan persepsi penduduk di bandar serantau terhadap penggunaan hukuman mati di Singapura.