Tempatan

70 Peratus Maahad Tahfiz Kedah Bakal Tutup Dalam Masa 3 Bulan – MAPIM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2021 – “Masalah terbesar dihadapi maahad tahfiz di negeri ini ialah aliran tunai yang terjejas teruk iaitu sekitar 50 hingga 70 peratus penyusutan pendapatan untuk beroperasi,” kata Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

“Dianggarkan 70 peratus maahad tahfiz di negeri ini hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya tiada bantuan disalurkan.”

Berdasarkan data daripada Persatuan Maahad Tahfiz Kedah Darul Aman (PETANDA), terdapat seramai 5,457 pelajar dan 775 guru di institusi tahfiz yang berdaftar di negeri itu.

“Berdasarkan maklumat itu, sebanyak 20 peratus institusi tahfiz terpaksa memberhentikan pekerja dan guru akibat sumber kewangan yang terhad,” kata beliau.

Manakala sebanyak 15 peratus institusi tahfiz swasta pula tidak dapat membayar gaji guru dan kakitangan dan 60 peratus lagi hanya dibayar separuh gaji.

Tambah Mohd Azmi, walaupun institusi tahfiz dikelolakan secara persendirian serta tidak tergolong dalam institusi pendidikan perdana, namun ia tetap menyumbang kepada kesejahteraan negara dari aspek kualiti golongan agamawan.

Atas sebab inilah beliau mahu kerajaan negeri Kedah segera menyalurkan bantuan kewangan kepada semua maahad tahfiz di Kedah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kebajikan pengurusan dan tenaga pengajar maahad tahfiz sewajarnya diberikan perhatian kerana ia melibatkan masa depan institusi pendidikan Islam.”

“MAPIM berharap kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan bantuan kewangan untuk membiayai keperluan perbelanjaan, pengurusan dan tenaga pengajar semua institusi tahfiz yang berdaftar termasuk pusat tahfiz yang dalam proses untuk mendaftar.”

September lalu Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta telah diluluskan untuk 63 buah sekolah persendirian Cina tidak lama selepas laporan berita mendedahkan 30 peratus daripada 160 maahad tahfiz swasta di Pahang bakal ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi akibat Covid-19.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button