NGO

70% Dari Sampah Ialah Botol Minuman Plastik – Nadia Aziz NAJM ALAM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA

KUANTAN, 13 November 2021 – Pihak NAJM telah mengambil inisiatif untuk melakukan aktiviti berbentuk sukarela mengutip sampah di pantai Kempedang, Kuantan. Aktiviti ini dilakukan di bawah cabang NAJM ALAM yang memfokuskan kepada isu-isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Peningkatan jumlah pengunjung dan pelancong di tempat-tempat tumpuan seluruh negara apabila rentas negeri telah dibenarkan oleh kerajaan, telah menimbulkan masalah sampah di sekitar pantai, air terjun, bukit dan gunung, taman termasuk di bahu-bahu jalan raya.

Isu sampah ini turut kerap dilaporkan di media-media sosial yang pastinya boleh menjejaskan imej negara di mata masyarakat antarabangsa. Malaysia boleh dilihat sebagai negara yang cuai dalam menguruskan masalah sampah termasuk kegagalan negara mendidik rakyatnya untuk mempunyai kesedaran sivik yang tinggi tentang sampah dan kebersihan alam sekitar termasuk isu kitar semula, penggunaan botol-botol plastik, tin aluminium dan polisterin yang keterlaluan.

Tinjauan NAJM ALAM sendiri ke tempat-tempat tumpuan ini termasuk kawasan pekan dan bandar menunjukkan masalah sampah ini menjadi masalah yang menyedihkan. Sampah yang tidak terurus, sampah kering yang bercampur dengan sampah lecet (sampah sisa makanan) menyebabkan tong-tong sampah menjadi busuk dan berlalat. Gerai-gerai yang dibuka di tepi jalan, pasar-pasar malam, pasar tani dan apa sahaja aktiviti jualan yang dibuat di tepi jalan menyebabkan sampah menjadi tidak terkawal.

Justeru, sebagai satu langkah permulaan, sebelum disentuh isu alam sekitar yang lebih kritikal dan kompleks, NAJM ALAM berhasrat untuk memulakan dengan aktiviti sederhana tetapi penting iaitu mengutip sampah. Dengan tenaga muda yang menyertai aktiviti sukarelawan ini, sebanyak lebih kurang 10 beg plastik besar sampah telah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lebih kurang 2 jam dalam radius 50 meter di pantai Kempedang tersebut.

Lebih 70 peratus sampah tersebut terdiri daripada botol-botol plastik dan lebih 90 peratus daripada botol plastik tersebut adalah botol-botol air mineral pelbagai jenama. Sampah polisterin bungkusan makanan juga sukar dikutip kerana telah terpecah menjadi pecahan-pecahan kecil. Botol-botol serta tin minuman keras juga bertaburan dalam jumlah yang banyak di tapak-tapak perkhemahan yang dibuat.

Aktiviti kutipan sampah ini terpaksa dihentikan lebih awal dan akan ditangguhkan kepada suatu masa yang lain memandangkan jumlah sampah yang terlalu banyak dan kekurangan tenaga sukarela. Pihak NAJM ALAM juga berhasrat untuk menganjurkan acara kutipan sampah ini dalam skala yang lebih besar dalam masa yang terdekat ini. Penyertaan sukarelawan daripada kalangan orang persendirian, NGO dan pertubuhan terutama daripada kalangan penduduk setempat, agensi-agensi kerajaan berkaitan serta pihak swasta dan syarikat-syarikat besar terutama yang menggunakan botol-botol plastik sebagai pembungkusan produk mereka dalam program kutipan sampah ini amatlah dialu-alukan.

Semoga langkah sederhana mengutip sampah ini akan dapat mendidik rakyat Malaysia terutama anak-anak dan golongan muda untuk menjadikan negara kita lebih terurus alam sekitarnya, bersih dan cantik. Kami NAJM ALAM menjadikan pengurusan sampah sebagai matlamat penting dalam cabang alam sekitar kami. Kami percaya pengurusan sampah yang baik adalah penanda aras kepada pengurusan negara yang baik dan serta memberikan pandangan pertama (first impression) akan nilai, etika dan budaya yang dipegang oleh rakyat sesebuah negara.

Sekian, terima kasih

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button