7 Juta Dewasa Malaysia Berisiko Maut
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2024 – Hampir tujuh juta orang dewasa di Malaysia berisiko maut akibat mengalami tekanan darah tinggi dan hipertensi.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, jumlah tersebut merangkumi satu dalam tiga orang dewasa yang menghidap penyakit itu.
Tinjauan juga mendapati sebanyak 11.9 peratus individu tidak tahu mereka mengalami tekanan darah tinggi, manakala sebanyak 17.3 peratus dalam kalangan individu sedar mereka mempunyai masalah hipertensi yang kronik.
Daripada angka tersebut, golongan berusia 18 hingga 39 tahun meliputi peratusan tertinggi tidak tahu mereka menghidap penyakit tekanan darah tinggi.
Memetik laporan pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh kepada media, ujarnya, antara faktor yang menyumbang kepada masalah tekanan darah tinggi adalah pemakanan tidak sihat, keturunan, kurang tidur, stres keterlaluan dan lain-lain.
Beliau turut membuat kajian yang mendapati faktor pemakanan tidak sihat sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan rendah yang membabitkan penghuni rumah kos rendah sering mengambil makanan proses seperti mi segera, sosej dan pelbagai lagi.
Katanya, “Kebanyakan kes yang berlaku adalah disebabkan obesiti atau kolestrol dalam badan terlalu tinggi akibat pemakanan tidak sihat selain kuat merokok.”
Justeru, bagi mengelakkan masalah kesihatan ini berterusan, Profesor Dr. Sharifa Ezat mencadangkan agar setiap rumah mempunyai kit pemeriksaan kesihatan merangkumi alat pemeriksaan tekanan darah dan gula khususnya terhadap golongan berisiko.