NGO

Pemegang Taruh Islam Mesti Cakna Cabaran Syariah & Hakisan Kuasa Raja-Raja Melayu – PEMBELA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), yang merupakan gabungan lebih 70 Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) di Malaysia ingin mengemukakan gesaan tegas seperti berikut.

2. Perkembangan dari Kes Iki Putra Mubarak pada 2021, kini sudah mula menampakkan natijah yang membawa kesan meruntuhkan kepada sistem perundangan syariah di dalam negara.

3. PEMBELA ingin merakamkan kekesalan dengan ketiadaan usaha dan inisiatif aktif daripada pihak-pihak pemegang taruh utama isu perundangan syariah negara untuk membendung kesan negatif daripada keputusan Kes Iki Putra Mubarak ke atas sistem perundangan Islam di Malaysia.

4. Perkembangan litigasi strategik yang dijalankan secara bertubi-tubi ini kini berada pada tahap yang amat membimbangkan. Ia tidak hanya memberi kesan kepada peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri yang bakal runtuh, tetapi juga memberi kesan yang dilihat akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu dengan pengurangan kuasa negeri di dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.

5. Kami ingin mendesak Majlis-Majlis Agama Islam semua Negeri di Malaysia untuk terlibat secara aktif memainkan peranan diperingkat Mahkamah, sama ada sebagai Pencelah (Intervener) atau Sahabat Mahkamah (Amicus Curaie) atau hadir sebagai Pemerhati di dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan Islam, Undang-Undang Syariah yang sedang berdepan dengan tekanan risiko pembatalan ini. Peranan aktif ini juga perlu dimainkan bukan hanya kepada kes ini sahaja namun pada masa akan datang.

6. Kami juga ingin mendesak Ahli-Ahli Parlimen Islam, supaya segera mengenepikan semua perbezaan dan Bersatu untuk memulakan usaha pindaan kepada peruntukan Perlembagaan berkaitan iaitu Jadual 9 Senarai II, untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri mempunyai punca kuasa yang cukup untuk melindungi serta memperkasa sistem perundangan syariah dalam negara.

7. Kami juga ingin merafak sembah, memohon semua Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja-Raja Melayu untuk mengambil perhatian dan menitahkan tindakan kepada semua pemegang taruh berkaitan Islam di dalam negeri dan negara, bagi menggembleng satu usaha padu bagi memastikan semua bentuk cabaran kepada sistem perundangan Islam di dalam negeri dan negara ditangani dengan serius, pro aktif dan berkesan.

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: