680 Pekerja Kurier Ditamatkan Kerja Tanpa Pampasan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 22 Disember 2022 – Seramai 680 pekerja syarikat kurier terkenal negara menerima notis pemberhentian kerja bermula hari ini, tanpa dibayar sebarang wang pampasan.
Menurut laporan, pekerja daripada syarikat Nationwide Express akan ditamatkan perkhidmatan secara berperingkat mulai 22 Disember hingga 24 Januari tahun hadapan.
Seorang pekerja, Mohd Hezri Rusli, 42 tahun berkata, “Tiba-tiba pada 1 Disember lalu, kami semua dapat notis ditamatkan kerja. Ada yang akan tamat mulai esok, 22 Disember dan ada yang tamat perkhidmatan pada 24 Januari ini.”
Selain itu, pemandu yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun itu juga mengatakan bahawa syarikat kurier berkenaan masih belum membayar penuh gaji mereka sebelum ini.
“Rasa tidak adillah syarikat berikan notis penamatan kerja macam itu saja, tanpa dinyatakan oleh syarikat untuk membayar pampasan atau sebagainya kepada kami,” luahnya selepas berjumpa Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor semalam.
Beliau juga bimbang akan nasib mereka untuk mencari kerja baru memandangkan usia sudah melebihi syarat pengambilan syarikat lain dan mempunyai tempoh masa yang terhad.
Selepas perjumpaan diadakan, mereka dikehendaki merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor untuk memfailkan tuntutan tindakan syarikat ke atas mereka. Para pekerja berkenaan turut menubuhkan satu jawatankuasa bagi menguruskan tuntutan ke atas syarikat itu.
Jelasnya, ia sudah dianggap meringankan beban sekiranya wang pampasan diberikan kepada semua pekerja yang akan berhenti, tetapi mereka dimaklumkan tidak mendapat apa-apa bayaran.
“Ini yang kami datang ke sini, dengan harapan untuk menuntut hak kami, tetapi dimaklumkan oleh jabatan ini supaya kami rujuk ke JTK Shah Alam.”
“Kami amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan kos sara hidup ketika ini sangat tinggi dan kami tidak mempunyai sumber pendapatan tetap untuk menyara keluarga,” katanya.