Tempatan

Bank Negara Patut Berpada Kumpul Matawang Asing – Hezri Sardi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Matawang negara iaitu Ringgit jatuh sebanyak:
1) 45% berbanding dollar Singapura.
2) 40% berbanding dollar US.
3) 31% berbanding Yuan.
4) 23% berbanding EURI.
5) 20% berbanding sterling.
6) 13% berbanding Dong Vietnam.
Sejak 2010. Ada lagi matawang asing lain yang ringgit jatuh jika dibandingkan.

Kesilapan yang selalu berlaku apabila orang menganggap kejatuhan itu sama ada kerana “keyakinan” (ini subjektif dan tak dapat diukur) atau menyamakan turun naik sebagai proses alam semulajadi yang langsung di luar kawalan manusia.

Banyak hal ekonomi yang dianggap EXOGENOUS atau di luar kawalan walhal sebenarnya ia ENDOGENOUS (dalam kawalan). Dalam konteks negara Malaysia, sudah tentu kita tak boleh mengawal berapa banyak matawang dollar, Euro, Yuan dan lain diuruskan tetapi ringgit hanya dicipta oleh Malaysia.

Di pihak kerajaan Malaysia, ada 2 platform yang sekarang digunakan untuk menyimpan atau membeli matawang asing iaitu:

1) Bank Negara.
Bank Negara setiap bulan melaporkan di laman webnya tentang berapa jumlah dalam dollar US, rizab simpanan matawang asing nya menurut fotmat SDDS.

2) Dana Kekayaan Negara. (Sovereign Wealth Fund) atau SWF.
SWF di negara ini ialah Khazanah Nasional Berhad yang dimiliki Kementerian Kewangan. Pada zaman COVID-19, ia telah menggunakan rizab matawang asingnya untuk membeli vaksin yang dijual dalam matawang dollar US.

Pendek kata, Bank Negara ialah platform kerajaan membeli, menyimpan matawang asing dalam bentuk bank pusat manakala SWF ialah platform kerajaan membeli menyimpan matawang asing dalam bentuk syarikat.

Untuk bank pusat seperti Bank Negara, adalah tidak wajib untuk mengumpulkan matawang asing. Bank Negara ditubuhkan pada 1959 dan hanya aktif selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Sebelum itu, dollar Malaya yang negara kita gunakan dikeluarkan oleh sistem lembaga matawang (currency board). Sistem currency board mewajibkan sesiapa saja untuk kerajaan memberi pound sterling kepada sesiapa yang menyerahkan dollar Malaya kepada kerajaan. Sebab itu, currency board terpaksa menyimpan matawang asing iaitu sterling secara mencukupi.

Menurut Menteri Kewangan pada awal penubuhan Bank Negara, Bank Negara tak patut terlalu banyak menyimpan matawang asing kerana itu sebab kita menukar daripada sistem Currency Board kepada sistem bank pusat (Bank Negara).

Kalau simpan sekalipun, Bank Negara hanya cukup cukup untuk bayar ansuran pinjaman dalam matawang asing. Kita pula tak banyak hutang dalam matawang asing.

Tapi setelah Kegawatan Ekonomi Asia 1998, Bank Negara mula menyimpan matawang asing. Selepas Ringgit diapungkan pada pertengahan 2005, tiba-tiba Bank Negara mengumpulkan matawang asing dengan begitu banyak.

Sejak awal abad ke 21, Malaysia bukan lagi pengeksport komoditi utama. Ada negara-negara seperti China, Vietnam, Indonesia dan lain yang mahu merendahkan nilai matawang mereka ketika itu bagi menggalakkan eksport. Ini dibuat dengan bank pusat mereka mengumpulkan matawang asing dengan banyak. Maknanya, mereka membeli, mengumpulkan rizab matawang asing untuk menjatuhkan nilai matawang mereka.

Tetapi, negara-negara bukan pengeksport komoditi seperti Malaysia ikut sama menambah rizab. Fenomena ini dipanggil “Comparative Hoarding”.

Ia umpama beli jet atau kereta kebal atau peluru berpandu. Negara-negara berbelanja besar untuk pertahanan tetapi langsung tidak menggunakan pun senjata yang dibeli. Kalau jiran beli, negara itu pun beli. Ini sama macam pengumpulan matawang asing. Trend ikut mengikut ini dipanggil “Joenes Effect” (Sila google).

Malaysia walaupun nilai eksport agak besar, tetapi hampir 40% dalam Elektrik dan Elektronik (E&E). Maknanya, ia hanyalah FDI syarikat asing yang beroperasi dalam bentuk Global Supply Chain (GSC). Jualan oleh GSC bukanlah sebenarnya eksport negara. Ia hanya pindahan dalaman GSC tersebut ke negara berbeza. Tak patut pun dikira dalam eksport negara.

Pengeksport komoditi selalunya mempunyai Term of Trade (ToT) yang besar dan sebab itu mereka cuba memurahkan matawang mereka dengan mengumpulkan matawang asing. Tapi kita yang tiada ToT pun cuba mengikut negara tadi dengan mengumpulkan matawang asing dengan banyak semata-mata kerana nak mengumpul (Joenes Effect).

Kalau setakat nak kumpul untuk sesuatu keperluan mendesak, kerajaan boleh buat secara organic melalui dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Fund) seperti Khazanah Nasional Berhad.

Bank Negara sepatutnya berpada-pada mengumpulkan matawang asing.

Hezri Sardi

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: