54 Projek Di Pulau Pinang Tidak Patuh EIA -Jabatan Alam Sekitar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BUKIT MERTAJAM, 29 Oktober 2022 – Sebanyak 54 projek disahkan tidak mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) apabila diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 85 premis atau projek yang mendapat kelulusan EIA sejak awal tahun ini hingga 24 Oktober lepas di bawah aktiviti Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 di negeri itu.
“Pemeriksaan wajib dilakukan untuk memastikan semua peraturan ditetapkan dipatuhi mereka termasuk membabitkan projek berskala besar dan kuari yang ketika ini proses pembinaan di lapangan masih lagi dijalankan.”
“Berdasarkan pemeriksaan itu, JAS Pulau Pinang mengeluarkan 23 kompaun dan mengambil tujuh tindakan mahkamah ke atas 54 projek yang didapati bersalah.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar ‘EIA Role In Sustainable Development‘ sempena Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, antara pelanggaran EIA yang dikesan adalah gagal memastikan projek yang dilaksanakan mematuhi peraturan ditetapkan dari segi pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual.
“Syarat kelulusan EIA ini terlalu banyak, namun yang utama JAS Pulau Pinang melihat dari aspek pengurusan kualiti udara, air dan buangan terjadual yang jika tidak dipatuhi akan memberi impak kepada masyarakat serta alam sekitar.”
“EIA yang membabitkan projek berskala besar memerlukan semua syarat yang ditetapkan dan dipatuhi. Jika pelepasan air tidak ikut syarat serta tidak membuat kawalan hakisan dan kelodakan di tapak, ia boleh menyebabkan bencana alam seperti berlaku banjir dan pencemaran sungai,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, JAS negeri telah melakukan 1,265 pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis sejak awal tahun dan mendapati 42 peratus tidak mematuhi syarat tersebut.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 426 kompaun bernilai RM852,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis dan 48 tindakan mahkamah diambil kerana melanggar peraturan ditetapkan.