Tempatan

PKP 2.0: Pahang Benarkan Solat Jemaah Dan Pengajian Ilmu Ikut Kapasiti

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membenarkan semua aktiviti solat fardu berjemaah dan solat Jumaat dijalankan di masjid serta surau mengikut kapasiti yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Manakala majlis pengajian ilmu pula hanya dibenarkan dilakukan di masjid.

Kesemua aktiviti yang dibenarkan ini tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh JAIP.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali, bagi solat Jumaat, jemaah dibenarkan hadir solat Jumaat berdasarkan kapasiti ruang solat yang dibuka oleh pihak Masjid Negeri, Masjid Daerah, Masjid Kariah dan Surau Kebenaran Jumaat.

“Kaedah penentuan kehadiran jemaah adalah secara terbuka (walk-in) dan jemaah WAJIB mengimbas suhu badan dan merekod kehadiran melalui QR Code MySejahtera dan Moveon (PhgGo) sahaja yang disediakan di pintu-pintu masuk.”

“Jemaah WAJIB membawa sejadah sendiri bersaiz besar, mematuhi penjarakan fizikal (physical distancing) dan memakai pelitup muka (face mask) dengan sempurna sepanjang berada di masjid termasuk ketika mendirikan solat.”

“Imam HENDAKLAH membaca surah yang ringkas di dalam solat, memendekkan bacaan wirid dan doa selepas solat.”

Dalam masa yang sama, Dato’ Dr Haji Zulkifle mengingatkan, “Mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, WAJIB DIGANTIKAN dengan solat zohor.”

Solat fardu berjemaah juga menggunakan SOP yang sama dengan solat Jumaat dengan syarat tambahan, jemaah dilarang berganjak atau berubah tempat duduk semasa melaksanakan amalan sunat selepas waktu solat fardhu Maghrib sehingga Isyak.

Manakala majlis pengajian ilmu hanya dibenarkan di masjid sahaja dan disampaikan oleh penceramah dalam negeri selepas solat Subuh dan antara waktu Maghrib dan Isyak.

“Penceramah dari luar Negeri Pahang TIDAK DIBENARKAN.”

“Jemaah DILARANG berganjak atau berubah tempat duduk semasa mengikuti pengajian ilmu. (Kuliah akan dibatalkan jika berlaku) dan jamuan selepas aktiviti pengajian ilmu TIDAK DIBENARKAN,” tegas Dato’ Dr Haji Zulkifle lagi.

Bukan itu sahaja, JAIP juga menyediakan ruang solat khas untuk solat fardu dan solat Jumaat bagi kemudahan individu yang bermusafir.

“Mana-mana individu yang bermusafir keluar dari Negeri Pahang dan kembali semula ke Negeri Pahang serta mana-mana individu yang bermusafir dari luar Negeri Pahang WAJIB menggunakan ruang solat khas yang disediakan oleh pentadbir masjid/surau dalam tempoh 10 hari.”

Seluruh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari ini kecuali negeri Sarawak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: