5 Perkampungan Terdedah Risiko Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 24 Mei 2023 – Lima perkampungan di pesisir pantai di Batu Rakit kini terancam akibat hakisan pantai yang semakin membimbangkan.
Antara perkampungan yang terlibat adalah Kampung Tengah, Kampung Kolam, Kampung Pengkalan Maras, Kampung Mengabang Telong dan Kampung Tanjung.
BACA JUGA: Cuaca Ekstrem Renggut 2 Juta Nyawa
BACA JUGA: Anjur Pesta Seks, Jabatan Agama Islam Johor Diarah Ambil Tindakan Segera
BACA JUGA: MP Cadang Golongan LGBT Masuk Kumpulan Sakit Mental
Menurut penduduk setempat, Akbar Abd. Rashid, 50, dalam tempoh beberapa tahun lalu, lebih 1,000 meter kawasan pantai di kampung tersebut telah ditelan ombak dan kini berada di tengah laut.
Katanya, kejadian hakisan lebih buruk berlaku pada musim tengkujuh akan datang dan sebahagian pantai di kampung tersebut akan terus terhakis sekiranya tiada tindakan diambil untuk menyelamat pantai berkenaan.
Justeru, beliau menyeru supaya pihak berwajib mengambil tindakan wajar dan memperbaiki usaha yang lalu, kerana usaha Kerajaan menambun pasir dan membina benteng tidak berjaya menahan hakisan tersebut.
“Beberapa tahun lalu, terdapat kerja-kerja menambun pasir di kawasan pantai itu sejauh 150 meter dari pantai dan panjang kira-kira dua kilometer, tetapi tidak sampai sebulan kawasan tersebut terhakis semula.”
“Penduduk berharap satu kajian yang teliti dilakukan sebelum kerja-kerja menahan hakisan dilakukan untuk mengelakkan kerja-kerja tersebut menjadi sia-sia,” katanya.
Kejadian hakisan pantai yang berlarutan sejak bertahun lamanya kini telah merobohkan beberapa bangunan termasuk surau dan memusnahkan kawasan penyimpanan sampan nelayan tempatan.