5 Individu Terkaya Makin Kaya, 5 Bilion Lagi Semakin Papa Sejak 2020 – Oxfam
WASHINGTON, 16 Januari 2024 – Dalam pada individu-individu terkaya dunia sedang berkumpul di Davos bagi pertemuan tahunan World Economic Forum, Oxfam yang merupakan sebuah organisasi antarabangsa telah mengeluarkan sebuah laporan yang menyatakan bahawa lima individu terkaya dunia telah menggandakan kekayaan mereka sejak 2020.
Manakala hampir 5 bilion manusia lain, yang terdiri daripada sekitar 60 peratus populasi dunia telah menjadi semakin miskin.
Perincian tentang kenyataan tersebut telah dinyatakan dalam sebuah laporan yang berjudul Inequality Inc., di mana kekayaan 5 individu terkaya dunia telah meningkat kepada $869 bilion.
Menurut laporan tersebut, jarak yang semakin meluas di antara orang miskin dan orang kaya berkemungkinan akan terus meningkat serta dunia akan menyaksikan individu pertama yang bergelar “trillionaire” dalam tempoh kurang daripada sepuluh tahun lagi.
Laporan yang sama turut menyatakan bahawa orang ramai di seluruh dunia kini bekerja lebih keras dan lebih lama, yang mana kebanyakannya disebabkan oleh gaji yang rendah dan pekerjaan yang tidak selamat.
Turut dinyatakan, “Di seluruh 52 negara, purata gaji hakiki bagi kebanyakan 800 juta pekerja telah menurun. Para pekerja secara keseluruhannya telah kehilangan sekitar $1.5 trilion sejak dua tahun lalu. Jumlah ini adalah bersamaan dengan keadaan di mana setiap orang pekerja telah kehilangan pendapatan sebanyak 25 hari.”
Menurut laporan tersebut juga, harta lima individu terkaya dunia iaitu Elon Musk, Bernard Arnault, Jeff Bezos, Larry Ellison dan Mark Zuckerberg telah bertambah sebanyak $464 bilion ataupun sebanyak 114 peratus pertambahan dan dalam masa yang sama jumlah kekayaan kelompok termiskin dunia yang terdiri daripada 4.77 bilion manusia telah menurun sebanyak 0.2 peratus.