48 Tahun Tiada Rayuan Pengampunan Diraja Untuk Tentera Ialah Satu Bentuk Diskriminasi – Haniff Khatri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2022 – Peguam Kanan, Haniff Khatri menegaskan bahawa, “Sekiranya benar sejak 1974, iaitu sejak 48 tahun lalu peruntukan untuk pengampunan Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak pernah digunapakai oleh pihak berkuasa Angkatan Tentera Malaysia untuk bekas anggotanya, maka ianya boleh dihujahkan sebagai satu bentuk “diskriminasi”.”
Beliau menjelaskan perkara tersebut dalam hantaran di Facebook sebagai mengulas kepada laporan Malaysiakini, 21.05.2022 bertajuk ‘Hari-hari kelam seorang kapten yang ‘dibuang secara keji’ dan kenyataan daripada penganjur demonstrasi perhimpunan aman Veteran Bangkit, Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi.
Haniff Khatri berkata, ini kerana hak Perlembagaan kepada mana-mana pihak tidak boleh diabaikan secara semberono dan secara tidak bertanggungjawab.
Terdapat dua alasan kukuh lain yang mewajibkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Malaysia untuk memberi penjelasan tentang isu ketiadaan mana-mana kes sejak 1974 yang pernah dirujuk untuk tujuan pengampunan Diraja, ujar Haniff Khatri.
Pertamanya, “Menurut peruntukan Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan, jelas memperuntukkan bahawa kuasa prerogatif YDPA/Sultan untuk memberi pengampunan Diraja adalah termasuk hukuman yang dikeluarkan oleh mahkamah tentera.”
Dan keduanya, “Menurut peruntukan Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan pula YDPA sememangnya adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, yang sewajibnya adalah Pihak Tertinggi yang berhak melaksanakan tanggungjawab penyeliaan berkaitan tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia termasuk berkaitan hukuman yang dikeluarkan mahkamah tentera.”
Justeru, pemakaian pengampunan Diraja ke atas mana-mana hukuman yang dikeluarkan oleh mahkamah tentera adalah satu “hak keperlembagaan” bekas pegawai tentera yang perlu dilaksanakan dengan konsisten dan efisien oleh pihak berkuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seterusnya, Haniff Khatri turut memperingatkan agar Angkatan Tentera Malaysia, Menteri Pertahanan, Menteri Parlimen dan Undang-Undang, serta Peguam Negara Malaysia menyiasat isu penting yang diketengahkan oleh Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi, sama ada benar bahawa tidak ada mana-mana hukuman kes mahkamah tentera yang ditampilkan untuk dipohan pengampunan Diraja sejak tahun 1974, iaitu sejak 48 tahun lalu.
“Jika benar bahawa tidak ada mana-mana hukuman kes mahkamah tentera yang ditampilkan untuk dipohon pengampunan Diraja sejak tahun 1974, iaitu sejak 48 tahun lalu, percepatkan pembetulan kesemua ketinggalan itu, demi hak dan kepentingan kesemua bekas anggota tentera yang dikenakan hukuman oleh mahkamah tentera dipelihara sebaiknya di sisi Perlembagaan Persekutuan.”