41 Maut Dalam Kebakaran Gereja
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GIZA, 15 Ogos 2022 – Kementerian Kesihatan Mesir melaporkan seramai 41 nyawa terkorban dalam kebakaran melibatkan sebuah gereja dikenali Gereja Abu Sifin di wilayah Giza, Mesir semalam.
Insiden yang berlaku di sekitar kawasan Imbabah itu turut mencederakan 12 lagi mangsa lain, lapor media luar negara.
“Empat daripada mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan tidak stabil, dan 37 ambulans telah dihantar ke lokasi kejadian,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, paderi dari gereja berhampiran, Farid Fahmy memberitahu bahawa kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas yang bermula dari unit penghawa dingin di tingkat dua bangunan tersebut.
“Bekalan kuasa eletrik terputus dan mereka menggunakan generator. Apabila kuasa kembali pulih, ia telah menyebabkan beban berlebihan,” ujarnya.
Seorang penganut agama Kristian yang menyaksikan insiden itu berkata, “Orang ramai berkumpul di tingkat tiga dan empat, dan kami melihat asap mula keluar dari tingkat dua. Orang ramai mula bergegas menuruni tangga dan kemudian jatuh menimpa antara satu sama lain.”
“Kemudian kami terdengar bunyi dentuman dan percikan api serta api keluar dari tingkap,” jelas beliau yang sempat melarikan diri bersama anak perempuannya.
Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan pihak agensi kerajaan akan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terlibat dalam insiden tersebut.