4 Percubaan & Kes Bunuh Diri Dalam Tempoh Dua Minggu Di Jambatan Pulau Pinang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GEORGE TOWN, 26 Mei 2022 – Dalam tempoh dua minggu, sebanyak empat percubaan dan kes bunuh diri telah direkodkan di Jambatan Pulau Pinang.
Kejadian pertama melibatkan kes bunuh diri seorang pemuda berusia 28 tahun yang bertindak meninggalkan kereta yang enjinnya masih hidup dan barang peribadinya di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum terjun ke dalam laut pada 16 Mei lalu.
Mayat lelaki terbabit ditemui terapung berhampiran perairan Pulau Rimau oleh nelayan tempatan sebelum memaklumkannya kepada pihak polis selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Sabtu lalu, seorang wanita berusia 43 tahun berjaya diselamatkan seorang anggota bomba yang tidak bertugas dengan bantuan orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.
“Wanita berusia 40-an itu mendakwa dia dari Bukit Mertajam dan wajahnya kelihatan sedih ketika berdiri di tepi jambatan. Daripada percakapannya, wanita berkenaan dipercayai mempunyai masalah dengan keluarga dan orang awam juga berusaha menenangkannya,” kata anggota bomba itu.
Dua hari kemudian, kejadian berulang lagi apabila seorang wanita berusia 27 tahun cuba bunuh diri sebelum dia berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Terbaharu, kurang 12 jam kemudian, seorang lagi wanita berusia 22 tahun terjun dan masih belum ditemukan. Buat masa ini, operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan.
Peningkatan kes telah menarik perhatian Kerajaan negeri untuk mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan supaya tidak menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat membunuh diri.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pakar serta agensi berkaitan, dan usaha itu digerakkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh yang turut membincangkan perkara itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta profesional dalam bidang perubatan di negeri ini.
Beliau dalam masa yang sama, menyeru orang ramai agar tidak menularkan video-video sebegini di media sosial agar perkara seperti bunuh diri di jambatan tidak dilihat sebagai jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B), Fahami Ashrof Badarudin mencadangkan agar syarikat konsesi mengambil tindakan awal dengan memasangkan besi penghadang yang secara dasarnya boleh menghalang tindakan cubaan bunuh diri berlaku di atas jambatan tersebut.
Tambahnya lagi, skuad khas juga harus ditubuhkan sebagai pasukan bertindak awal sekiranya kes bunuh diri berlaku.
Beliau berkata, pihak berkuasa atau sukarelawan harus kerap melakukan rondaan di atas jambatan dan Kerajaan juga harus mengambil kira kos operasi pencarian mangsa terjun kerana ia membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa di mana mereka terpaksa kurangkan tenaga kerja operasi lain menggembleng tenaga untuk mencari mangsa bunuh diri.
Di samping itu, Senator Lim Hui Ying turut menyarankan agar papan tanda besar dengan mesej dan nombor telefon pihak berkaitan diletak di pintu masuk Jambatan Pulau Pinang serta penubuhan “skuad cegah bunuh diri” yang terdiri daripada penunggang motosikal sukarela terlatih harus dipertimbangkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, bagi menangani isu bunuh diri ini, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang yang dipengerusikan Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.
“Kaedah yang kita akan laksanakan adalah dengan memberi khidmat nasihat dan mendengar masalah kerana mereka memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan.”
“Kita mewujudkan unit kaunseling bersama CCPSS yang disertai pakar-pakar (kaunselor) untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah dihadapi mangsa,” kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed turut menyokong bahawa semakin ramai individu bermasalah akan menggunakan jambatan satu sebagai lokasi bunuh diri.
Tambah beliau, orang awam juga diminta melaporkan penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Mengikut statistik, 15 kes direkodkan sepanjang tahun 2022 dengan hanya 40 peratus sahaja disahkan selamat.