3,300 Pekerja Di UK Mula Percubaan Kerja 4 hari Seminggu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
UNITED KINGDOM, 8 JUN 2022 – Bermula Isnin lalu, lebih dari 3,300 pekerja dari 70 syarikat pelbagai sektor di United Kingdom mula bekerja empat hari tanpa sebarang potongan bayaran gaji. Ini merupakan sebuah percubaan bertaraf dunia yang terbesar setakat ini dalam mengkaji dan mencuba corak dan pola bekerja baharu.
Percubaan yang melibatkan pelbagai sektor, daripada kedai makan tempatan sehinggalah firma kewangan terbesar itu akan mengambil masa selama enam bulan. Program ini dianjurkan oleh 4 Day Week Global dengan kerjasama para pemikir dari Autonomy, The 4 Day Week Campaign dan para penyelidik dari Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Boston College.
Antara yang terlibat dalam program percubaan ini adalah firma perisian, Rivelin Robotics; Restoran Platten’s Fish and Chips in Wells-next-the-Sea; pakar cukai harta pusaka, Stellar Asset Management, bank Charity dan lain-lain.
Percubaan yang sedang dijalankan ini adalah berdasarkan model 100:80:100 iaitu 100 peratus bayaran gaji untuk 80 peratus masa bekerja, dengan memberikan komitmen bagi mengekalkan 100 peratus produktiviti.
Para penyelidik akan bekerjasama dengan setiap organisasi yang terlibat dalam program percubaan ini bagi mengukur kesan program percubaan ini terhadap produktiviti dalam perniagaan, kesejahteraan pekerja serta kesannya terhadap alam sekitar dan kesamarataan jantina.
Menurut Ketua Eksekutif 4 Day Week Global, Joe O’Connor, sejak berlakunya pandemik COVID-19, semakin banyak syarikat telah mengiktiraf bahawa kualiti hidup pengurangan jam bekerja serta tumpuan kepada pengeluaran merupakan satu kelebihan kepada syarikat dalam persaingan perniagaan.