Antarabangsa

3,000 Paderi Gereja Katolik Cabul Kanak-Kanak, Menurut Siasatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PARIS, 05 Oktober 2021 – “Kami menganggarkan 3,000 daripada 115,000 paderi dan pegawai gereja adalah pedofil,” dedah Jean-Marc Sauve, Presiden Suruhanjaya Bebas Penderaan Seksual Di Gereja.

Suruhanjaya bebas ini ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Gereja Katolik Perancis berhubung maklum balas terhadap beberapa siri skandal seks yang mengejutkan gereja di negara tersebut serta seluruh dunia.

Kata Jean-Marc Sauve, anggaran bilangan pedofil dalam Gereja Katolik Perancis ini adalah bermula dari tahun 1950, hasil kajian suruhanjaya itu selama dua tahun setengah.

Bilangan itu juga hanya merupakan ‘anggaran minimum’ kes penderaan seks terhadap kanak-kanak dalam gereja Katolik.

Menurut Presiden Institut Sains Pentadbiran Perancis itu, hanya 22 kes sahaja yang masih layak untuk dibawa ke mahkamah pendakwa raya, manakala lebih dari 40 kes dikira sudah terlalu lama untuk dibicarakan di mahkamah.

Walau bagaimanapun, kes-kes ini telah dikemukakan kepada pegawai gereja kerana melibatkan suspek yang masih hidup.

“Dari tahun 1950 hingga 1970, pihak gereja langsung tidak peduli kepada mereka yang menjadi mangsa; Mangsa tidak wujud, penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak terlibat tidak dipedulikan,” ujar bekas penasihat Menteri Undang-Undang itu.

Pada tahun 2017, The Guardian pernah melaporkan tentang seorang paderi Katolik di Melbourne, Denis Hart yang menyatakan bahawa beliau lebih rela masuk ke dalam penjara daripada melaporkan kepada pihak berkuasa tentang penderaan seksual kanak-kanak yang diterimanya sewaktu dalam sesi pengakuan.

“Saya percaya, pengakuan (daripada penganut) itu merupakan komunikasi suci daripada perintah tertinggi yang perlu dihormati oleh para paderi. Komunikasi dengan tuhan adalah satu kepercayaan suci. Penganut selain Katolik akan sukar memahami perkara ini, namun kami (pengikut Katolik) percaya ianya (pengakuan) sesuatu yang teramat-amat suci dan merupakan sebahagian daripada kami.”

Leave a Reply

Back to top button