28 Negara Sertai Deklarasi Bletchley, Persetujuan Keselamatan Penggunaan AI
LONDON, 04 November 2023 – 28 negara termasuk Arab Saudi dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) telah menandatangani “Deklarasi Bletchley” yang merupakan sebuah perjanjian persetujuan yang bermotifkan keselamatan perkembangan serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Deklarasi tersebut telah ditandatangani menerusi sebuah program persidangan AI Safety Summit, sebuah majlis bertaraf antarabangsa yang telah bermula pada Rabu lalu di Bletchley Park di London.
United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), EU dan China adalah di antara negara yang telah bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan teknologi-teknologi berasaskan AI yang dikembangkan dapat digunakan dengan selamat serta penuh bertanggungjawab.
Ini berikutan terdapat potensi risiko buruk yang dahsyat serta akibat yang tidak diingini bagi penggunaan teknologi sedemikian terhadap kemanusiaan.
Persidangan tersebut telah mengenalpasti tiga perkara utama yang menjadi kepentingan iaitu pengenalpastian risiko-risiko yang berpotensi terjadi disebabkan AI, pembinaan polisi-polisi yang berdasarkan risiko oleh negara-negara ahli serta sokongan terhadap jaringan kajian antarabangsa dalam skop kajian keselamatan AI.
Deklarasi tersebut telah disifatkan sebagai sebuah langkah untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan para pemegang taruh bagi perkembangan dan penggunaan teknologi-teknologi moden.