Tempatan

254 Cerun Kritikal Dikesan Di 31 Hotspot Seluruh Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 November 2023 – Berdasarkan pemantauan Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), sebanyak 254 cerun kritikal dikesan di 31 lokasi panas di seluruh negara.

Antara lokasi dikenal pasti adalah sekitar Lembah Klang; Tanjung Bungah dan Paya Terubong, Pulau Pinang; Ipoh di Perak; Cameron Highlands di Pahang; Gunung Jerai di Kedah manakala Kundasang di Sabah dan Bau di Sarawak.

Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 104 lokasi cerun di seluruh negara dikenal pasti sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing terutama menjelang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan depan.

“Kesemua cerun dalam kategori berisiko tinggi terbabit perlu diberi perhatian untuk tindakan mitigasi segera bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda jika berlaku tanah runtuh.”

“Selebihnya 97 cerun kritikal sederhana manakala 53 lokasi cerun diklasifikasikan kritikal rendah,” katanya.

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan sebanyak 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi oleh pihak berkaitan manakala 15 cerun sedang dalam penyelenggaraan dan sebanyak 202 cerun sedang dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan sepatutnya bagi cerun di bawah seliaan kerajaan.”

“Yang menjadi isu apabila cerun membabitkan tanah persendirian atau pemaju kerana tindakan perlu diambil tuan tanah sendiri namun ada yang tidak berbuat demikian sehingga berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

Justeru, Zamri meminta orang ramai atau pihak berkaitan agar berwaspada dan memberi perhatian sekiranya terdapat tanda-tanda awal bagi tanah runtuh antaranya rekahan, titisan air, pergerakan tanah, retakan pada struktur bangunan, air bertakung dan hakisan galur pada cerun.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: