25,000 Serpihan Artifak Zaman Khalifah Islam Ditemui Di Kawasan Bersejarah Jeddah
JEDDAH, 06 FEBRUARI 2024 – Sebanyak 25,000 serpihan artifak sejak zaman khalifah Islam pada dua abad pertama kalendar Hijrah bersamaan dengan abad ke-7 hingga ke-8 Masihi ditemui di Kawasan Bersejarah Jeddah.
Pengumuman berhubung perkara ini dibuat oleh Program Daerah Bersejarah Jeddah (JDHP), dengan kerjasama Suruhanjaya Warisan Saudi.
Penemuan arkeologi tersebut diumumkan sebagai sebahagian daripada Projek Pemulihan Bersejarah Jeddah yang digagas oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Mohamed Bin Salman.
Menurut kenyataan akhbar daripada JDHP, projek penggalian telah bermula pada Januari 2020 dengan kajian penyelidikan awal dan tinjauan geofizikal di mana matlamatnya adalah untuk mendedahkan kepentingan sejarah empat lokasi utama iaitu Masjid Othman Bin Affan, Al-Shona, segmen Dinding Utara (Northern Wall) serta Al-Kidwah.
Memetik kepada Saudi Gazette, projek berkenaan bertujuan untuk memelihara warisan kebangsaan dan tapak arkeologi di samping untuk mendedahkan kekayaan sejarahnya dan mempromosikan Kawasan Bersejarah Jeddah sebagai destinasi budaya dan pelancongan selaras dengan Visi Saudi 2030.
Kenyataan sama berkata, pada November 2020, kajian arkeologi dan penggalian telah menghasilkan penemuan yang signifikan termasuklah 11,405 serpihan tembikar yang beratnya 293 kilogram, 11,360 tulang haiwan yang beratnya 107 kilogram, 1,730 cengkerang seberat 32 kilogram, 685 bahan binaan dengan berat 1887 kilogram, 187 artifak kaca seberat lima kilogram dan 71 artifak logam seberat tujuh kilogram.
Kajian arkeologi di empat tapak bersejarah itu melibatkan penggalian, analisis radiokarbon, analisis tanah, tinjauan geofizikal dan pemeriksaan saintifik artifak.
Sehubungan penemuan bersejarah ini, JDHP dan Suruhanjaya Warisan bekerjasama untuk menyelia dokumentasi, pendaftaran dan pemeliharaan artifak arkeologi yang ditemukan di tapak bersejarah tersebut.
Penemuan itu juga telah disenaraikan dalam Pendaftaran Arkeologi Kebangsaan dan pangkalan data saintifik turut dibangunkan untuk mengekalkan maklumat yang berkaitan dengan artifak yang ditemui.