Tempatan

2035, Tahun Ronggeng Kapitalis Pharma?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Persekutuan Obesity Sedunia (WOF), meramalkan, menjelang 2035, separuh dari penduduk dunia akan mengalami gejala obesiti dan berat badan berlebihan. Separuh penduduk dunia akan alami gejala berat badan berlebihan dan satu daripada 4 penduduk dunia akan mengalami gejala obesiti. WOF turut meramalkan, impak masalah obesiti pada ketika itu, akan mengakibatkan kos $4.32 trillion ke atas ekonomi dunia.

Kebimbangan
Antara kebimbangan utama yang dinyatakan ialah, kadar peningkatan obesiti di kalangan kanak-kanak bakal meningkat 100%. Kanak-kanak perempuan lebih terkesan dengan peningkatan lebih 125% berbanding kanak-kanak lelaki dengan 100% kenaikan.

Peliknya, negara yang parah dalam peningkatan gejala ini dijangkakan akan datang dari negara-negara Asia dan Afrika.

WOF mendesak supaya satu pelan komprehensif kebangsaan dibuat untuk membantu negara-negara ini supaya bertindak mengikut rekomendasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di dalam Pelan Pencegahan Dan Pengurusan Obesiti. WOF menyatakan pihak mereka akan membentangkan Atlas Report berkenaan perkara ini pada 6 Mac 2023 di Pertubuhan-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Obesiti Itu Penyakit

Trend obesiti yang dijangkakan ini adalah amat membimbangkan. Obesiti sentiasa dikaitkan dengan penyakit kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, gout, stroke, beberapa jenis kanser berkaitan dan pelbagai penyakit lagi. Penyakit-penyakit ini bukan hanya menyebabkan masalah kesihatan yang memberi kesan buruk secara fizikal dan mental kepada pengidapnya, tetapi juga memberikan kesan kepada ekonomi keluarga pengidapnya. Untuk mengubati penyakit-penyakit tersebut, kos yang amat tinggi diperlukan.

Untuk mencegahnya secara disiplin, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua pihak. Ramai yang jika diberi pilihan mudah mengubati penyakit sambil tidur berbaring dan tidak berbuat apa-apa, pasti itulah jalan utama yang mereka akan cuba.

Hilangkan Bimbang, Kapitalis Pharma Ada Remedi

Selain dari laporan dari WOF, negara barat sedang menyaksikan trend penggunaan Ubat Kelas baru Glucagon-Like Peptide 1 Receptor Agonists (GLP-1 Receptor Agonist). Ubat yang asalnya digunakan untuk mengubati penyakit kencing manis, mula dipakej sebagai ubatan ‘Off Label’ untuk kegunaan penurunan berat badan.

Kesannya menakjubkan. Kajian klinikal menunjukkan ianya dapat menurunkan berat badan pihak yang menggunakannya. Beberapa Kapitalis Pharma mula memasarkannya di dalam pelbagai jenama. Yang perlu dilakukan ialah suntik sahaja. Salah satu jenama yang dipasarkan, menjelaskan GLP-1 Receptor Agonists ini, menyebabkan penggunanya akan berasa kenyang dan mengurangkan selera makan makan mereka.

Ibarat terjumpa telaga minyak baru, kapitalis-kapitalis Pharma pada ketika ini dilihat sedang berlumba-lumba memperkenalkan produk-produk ‘Off Label’ berkait GLP-1 Receptor Agonists. Negara-negara Eropah dan Amerika, sedang menyaksikan trend penggunaannya yang semakin meningkat.

Risiko?

Walaupun didakwa berjaya menurunkan berat badan penyuntiknya di dalam ujian-ujian klinikal, kesan jangka panjang kepada penggunaannya masih belum dapat dipastikan dengan tepat. Dos kecil sebagaimana penggunaaannya di dalam kes diabetes, hanya memberi kesan seperti gejala cirit birit dan muntah-muntah.

Mengikut laporan The American Journal Of Gastroentrology, mendedahkan, penyakit pancreatitis akut dikaitkan dengan penggunaan Semaglitude yang juga merupakan ubat GLP-1 Receptor Agonist.

Ronggeng Kapitalis Pharma

Harga untuk mendapatkan suntikan ubat magik kurus ini agak mahal. Sekitar RM 4,000.00 ++ sebulan. Penggunaannya pula bukanlah dengan sekali suntik tetapi di dalam dos-dos yang diatur dalam tempoh panjang.

Tetapi obsesi manusia dengan iltizam pemikiran magik boleh kurus tanpa usaha, tanpa aktiviti fizikal dan tanpa menjaga disiplin diet pemakanan, menyebabkan mereka berkemungkinan cenderung memilih jalan mudah untuk mendapatkan suntikan-suntikan ini.

2035, tahun terbaik untuk kapitalis pharma menuai hasil. Bukan hanya sebagai ubatan penyembuh kepada penyakit-penyakit berkait obesiti dan berat badan berlebihan, tetapi juga sebagai ‘rawatan’ untuk mencegah obesiti.

Sakit mereka untung, tak mahu sakit pun mereka untung. Seperti lirik lagu Segitiga Piramida dari kumpulan Wings, ‘Duduk di bawah kau tadah, duduk atas kau sapu, Duduk di kiri kau siku duduk kanan kau tekan… Siapa kisah….?’

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: