20 Tonggak Amal Soleh Mantapkan Kefahaman Dan Penghayatan Rukunegara Sebagai Teras Patriotisme – Dato’ Profesor Naser Disa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
DIRGAHAYU TUANKU !
Pemahaman dan Penghayatan Rukunegara sebagaimana yang dititahkan berulang kali oleh Seri Paduka Baginda YDPA sejak tahun 2019 jika difahami berdasarkan 20 tonggak amal soleh yang berpaksikan kepada Sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen mampu mencetuskan kedamaian dan kesejahteraan berterusan dalam Negara tercinta ini. Ayuh sama-sama kita fahami dan hayatinya bersempena sambutan ulang tahun Keputeraan DYMM Seri Paduka Baginda YDPA untuk tahun 2022 ini.
1. Kepercayaan Kepada Tuhan
Aqidah Negara Sumpah Rabbani;
Memelihara Islam Baiah Hifzuddeen;
ASWJ kita pegangi ;
Laungan Azan, Merdeka Abideen
2. Kesetiaan Kepada Raja & Negara
Anugerah Merdeka kurniaan Ilahi;
Mujahadah Panglima Raja bermaruah;
Angkatan pejuang disanjung tinggi;
Langkah bijak elak terjajah
3. Keluhuran Perlembagaan
Amati bersama Asas Kedaulatan;
Mantap kefahaman teguh keluhuran;
Agama Dijunjung Hakis ancaman;
Lengkap Kedaulatan Negara dan Watan.
4. Kedaulatan Undang-Undang
Amar Maaruf Nahi Munkar;
Megah tersemat Kanun Dan Syariat;
Adil dan Hikmah tetap Segar;
Lambaian Sejahtera teras masyarakat.
5. Kesopanan & Kesusilaan
Adat Melayu bersendikan agama;
Masyhur serata teguh peribadi;
Angkuh dan sombong punca angkara;
Luhur budi hormat menghormati.
Hadapi Cabaran Utama Terhadap Kedaulatan Negara
Pengaruh Gerakan Liberal World Order Pendekatan Islamofobik Dan Anti-Monarki
Lebih 1,000 Gerakan Sivil dengan bantuan teknikal, kewangan, sokongan dari gerakan-gerakan yang mendokong dasar Orde Dunia Liberal (Liberal World Order) tajaan zionis Kristian sedang bergerak di dalam Negara telah berjaya mencetuskan segala bentuk ketegangan, kebencian dan penentangan kepada Kesultanan Melayu/Islam.
Pendekatan-pendekatan yang digunakan mereka, seringkali mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Negara (islamofobik dan Islam Bashing), anti-monarki hingga mencetuskan kebencian dan tekad menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah negara yang sah, hak keistimewaan bumiputera, undang-undang Syariah dan sebagainya yang menjadi ‘core issue’ yang teramat dekat dengan sokongan akar umbi pemerintah.
Overzealous Politic
Pengaruh Liberal World Order ini telah berjaya mencetuskan fenomena Overzealous Politic yang telah berlarutan sejak beberapa dekad yang lalu dan telah berjaya meruntuhkan kerajaan Melayu/Islam yang telah sekian lama berakar umbi membentuk Peradaban Negara sejak dari era kegemilangan Tun Perak di Melaka. Namun hasrat dan tekad mereka untuk menghakis Kesultanan Melayu/Islam di negara kita ini masih utuh dan berterusan dengan sokongan pengkhianat dalaman sebagaimana yang berlaku pada era kejatuhan Kesultanan Uthmaniyyah 100 tahun lalu. Malangnya kesediaan umat Melayu/Islam untuk menghadapi cabaran-cabaran ini hampir tiada, malah kesedaran mengenai ancaman-ancaman itu juga pada tahap yang amat minima.
Solusi Dan Remedi: Mantapkan Patriotisme Kenegaraan
Umat Melayu/Islam tiada pilihan lain selain dari memperteguhkan kecintaan terhadap kenegaraan dan peradaban Kesultanan Melayu/Islam yang telah berjaya membentuk peradaban Melayu di Asia Tenggara ini menerusi Roh Patriotisme. Patriotisme adalah kecintaan tulus ikhlas kepada Negara berteraskan prinsip-prinsip Rukunegara. Cabaran dalaman Kerajaan perlu diatasi dengan menggunakan pendekatan membina jaringan wahdatul fikr dan hubungan baik sesama jentera pentadbiran Negara. Di samping tidak diabaikan tindakan dan tekanan ke atas elemen yang berpotensi menggugat dan mencabar sebarang bentuk dasar dan prinsip yang membentuk kekuatan dan penguasaan Kerajaan Melayu Islam. Cabaran “Deep State” dari elemen dalaman Kerajaan telah mengakibatkan kebanyakan polisi dan pendekatan baik yang cuba digerakkan Kerajaan, disabotaj di peringkat perlaksanaan. Pengkelasan, pengukuhan serta pembersihan elemen-elemen ini di dalam Kerajaan perlu digerakkan dengan strategi tepat dan betul.
Pemahaman Dan Penghayatan 5 Prinsip Rukunegara
Umat Melayu Islam perlu kembali menghayati prinsip Rukunegara yang berteraskan kepada Ketuhanan, Kesetiaan, Keluhuran, Kedaulatan dan Kesusilaan. Inilah prinsip kenegaraan yang wajib difahami dan dihayati oleh bukan sahaja umat Melayu/Islam bahkan seluruh warganegara Malaysia. Agenda patriotisme amal soleh yang dicetuskan ini bermatlamatkan Pembentukan Jiwa Patriotik bagi mengubati emosi overzealous politic yang berpanjangan. Asas Utama pembinaan Patriotisme ini adalah Pemahaman dan Penghayatan Rukunegara berteraskan Sumpah Rabbani & Bai’ah Hifzuddeen menurut perkara 37(1) Perlembagaan.
Tunaikan Sumpah Dan Janji – Sumpah Rabbani Dan Bai’ah Hifzuddeen
Berteraskan sumpah Rabbani di hadapan Allah Rabbul Jaleel, maka amatlah tidak wajar jika ada mana-mana pemimpin, ahli politik atau mana-mana pihak yang menyemai kebencian terhadap kesultanan Melayu Islam serta menghina agama Islam atau mengambil pendekatan Islam bashing dalam gerakan atau pemikiran mereka sama ada politik atau non-politik. Dalam sumpah Rabbani ini juga terkandung Bai’ah Hifzuddeen iaitu ikrar dan janji kepada Allah SWT untuk Negara ini memelihara agama Islam pada setiap masa. Tanpa sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini pemerintahan Negara tidak sah dan kedaulatan Seri Paduka Baginda YDPA serta Kerajaan Baginda boleh dipertikaikan. Sekalipun yang melafazkan sumpah Rabbani dan Bai’ah Hifzuddeen ini adalah Ketua Tertinggi Negara, namun kewajipan untuk melaksanakannya adalah terletak di atas ketiga-tiga cabang pemerintahan negara iaitu Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman serta rakyat keseluruhannya.
Dirgahayu Tuanku!
Dato’ Profesor Haji Mahamad Naser bin Disa
Hakim Rayuan (Panel Sivil) Mahkamah Rayuan Syariah Pahang
Profesor Industri UniSZA
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my