20 Nelayan Vietnam Ditahan, Ceroboh Perairan Negara
KUALA TERENGGANU, 01 Jun 2023 – 20 nelayan asing Vietnam berjaya ditahan selepas menceroboh masuk perairan negara pada jarak 116 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar bin Abd Majid, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan bot nelayan asing tersebut pada pukul 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri sebelum itu.
“Semasa melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut,telah dikesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari,” kata beliau dalam satu kenyataan di Facebook rasmi agensi.
BACA JUGA: Tentera Israel Melampau! Bendera Palestin Dijadikan Mop Lantai
BACA JUGA: Fatwa Sesat SIS: Mahkamah Tetapkan 21 Ogos Dengar Permohonan Rayuan
BACA JUGA: GEMPAR! Penyelidik Temui Rangka Manusia Prasejarah Di Gua Musang
“Menyedari kehadiran Kapal Maritim, bot tersebut telah melarikan diri ke arah sempadan Vietnam namun gagal apabila berjaya ditahan.”
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam yang masing-masing berumur antara 18 hingga 49 tahun berada di atas bot tersebut.
“Pemeriksaan turut mendapati tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.”
Dalam penahanan itu, Maritim Malaysia Terengganu merampas bot dan peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan 300 kilogram, peralatan komunikasi dan navigasi serta 2,000 liter bekalan diesel. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Mengakhiri kenyataan, Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.