2 Saluran Paip Gas Rusia ‘Diserang’, Disyaki Sabotaj
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
STOCKHOLM/COPENHAGEN, 28 September 2022 – Dua saluran paip gas Nord Stream yang menghubungkan Rusia dan Eropah dilaporkan bocor dan disyaki ada kaitan dengan unsur sabotaj.
Setakat ini masih tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab di sebalik kebocoran yang berlaku.
Menurut media antarabangsa, Menteri Ekonomi Jerman Robert Habeck memberitahu kepada para pemimpin perniagaan bahawa kebocoran itu disebabkan oleh serangan yang disasarkan ke atas infrastruktur.
“Berlin kini pasti bahawa ia bukan disebabkan oleh kejadian semula jadi atau disebabkan material,” ujarnya.
Kebocoran gas kali pertama dilaporkan berlaku di Nord Stream 2, Zon Denmark pada Isnin lalu.
Manakala Nord Stream 1 pula mengalami dua kebocoran di mana satu kebocoran berlaku di zon ekonomi Denmark dan satu lagi di zon ekonomi Sweden.
Saluran paip Nord Stream menjadi pertikaian dalam perang tenaga antara Eropah dan Rusia selepas negara pimpinan Vladimir Putin itu menghentikan pengaliran gas melalui saluran paip Nord Stream 1 ke Eropah.
Penghentian ini meningkatkan prospek kemelesetan dan catuan tenaga di beberapa negara terkaya di rantau ini.
Dilaporkan bahawa Eropah sedang menyiasat punca kebocoran ini.