2 NGO Buat Laporan Polis Terhadap A. Kadir Jasin
KUALA LUMPUR – Dua badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin atas posting Facebooknya bertajuk, ‘Cerita Rakyat dan Payung Mahkota’.
Wakil Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Shah Alam dan wakil Kelab Anak Muda Pewaris Shah Alam masing-masing membuat laporan itu di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Selangor pagi tadi atas sebab posting itu berbaur ugutan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk tunduk dengan desakan-desakan politik.
Menurut wakil seperti dalam lampiran salinan polis, “Saya mendapati posting yang dibuat A. Kadir Jasin ini, terutamanya pada perkara 6 berbaur ugutan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk tunduk dengan desakan-desakan politik.”
Petikan perkara 6 posting A. Kadir Jasin berbunyi: “Sedikit sebanyak, jika perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen ini tidak diatasi, kedudukan institusi raja akan turut dilibatkan.”
Tambah wakil, posting ini mendatangkan kebencian dan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Raja-Raja Melayu dalam isu pengisytiharan darurat baru-baru ini.
Oleh itu, laporan dibuat agar pihak polis dapat menyiasat wartawan veteran itu di bawah Akta Hasutan 1948.