2 Negeri Belum Capai Prevalen Antibodi Penyakit Kaki Gajah – KP Kesihatan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Januari 2023 – “Pada tahun 2022, Malaysia telah berjaya mencapai sasaran kadar prevalen antibodi filariasis kurang daripada dua peratus (2%) di 125 (98.4%) mukim endemik.”
“Namun masih terdapat tiga (3) mukim di Sarawak dan dua (2) mukim di Sabah belum berjaya mencapai prevalen antibodi filariasis kurang dari 2%,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.
BACA JUGA: Jeti Roboh, Guru Bergelut Selamatkan Anak Murid
BACA JUGA: Kenaikan Kos, Ibu Bapa Seru Kerajaan Kawal Harga Barangan Keperluan Sekolah
BACA JUGA: Banjir: Menteri Cadang Wujudkan Juga Tempat Proses Retort Food Di Sabah
Ujarnya, filariasis limfatik atau penyakit untut masih menjadi masalah kesihatan awam global. Penyakit yang tergolong di bawah salah satu Penyakit Tropika Terabai (Neglected Tropical Disease – NTD) yang penting di Malaysia ini terletak di bawah kategori penyakit bawaan vektor.
Penyebab filariasis limfatik adalah cacing filaria yang disebarkan oleh nyamuk Mansonia spp., Culex spp. dan Anopheles spp. yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama cacing filaria kepada individu sihat lain.
Spesis cacing filaria yang terdapat di Malaysia ialah Brugia malayi. Cacing filaria dewasa hidup antara enam (6) hingga lapan (8) tahun dalam sistem saluran limfatik, menyebabkan kerosakan terutamanya pada bahagian kaki dan tangan, mengakibatkan untut (kaki gajah) dan hydrocele (pembengkakan skrotum).
Justeru, bagi memastikan Malaysia mencapai status eliminasi filariasis limfatik menjelang tahun 2025, KKM menyeru ahli masyarakat yang tinggal di kawasan endemik filariasis agar memberi kerjasama dengan menjalani ujian saringan darah sekiranya diarahkan, serta memakan ubat anti-filaria yang diberi oleh petugas kesihatan.
Antara ubat yang diberikan kepada penyakit untut gajah di bawah program Limfatik Filariasis Kebangsaan adalah seperti ivermectin, diethylcarbamazine (DEC) dan albendazole, kata beliau lagi.