18 Agensi PBB Gesa Gencatan Senjata Di Gaza
GENEVA, 07 November 2023 – Pemimpin-pemimpin dari 18 agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan dengan segera di Gaza, seperti yang dilaporkan sebuah agensi berita antarabangsa.
“Kami memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera. Sudah 30 hari. Cukuplah,” kata ketua-ketua PBB dan NGO dalam satu kenyataan bersama pada Ahad sambil menegaskan bahawa konflik tersebut perlu dihentikan segera.
Menurut laporan itu, ketua-ketua PBB dan NGO termasuklah pemimpin UNICEF, UN Women, The World Food Program, The World Health Organization dan Save The Children telah menyifatkan bahawa kematian dalam konflik tersebut sebagai “mengerikan”.
Hal ini kerana, sekurang-kurangnya 9,770 rakyat Palestin yang kebanyakannya orang awam terkorban susulan pengeboman Israel ke atas Gaza.
Berikutan itu, ketua-ketua PBB dan NGO menyeru agar semua pihak menghormati “kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa” termasuk melindungi infrastruktur awam seperti hospital dan sekolah selain turut membenarkan agar bantuan disalurkan ke Gaza.
Kata mereka, tindakan menafikan penyaluran barangan serta perkhidmatan penting kepada penduduk di Gaza serta pengeboman ke atas rumah, tempat perlindungan, hospital dan tempat ibadah mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima di samping turut mengecam pembunuhan berpuluh-puluh pekerja kesihatan.
“Lebih daripada 100 serangan terhadap pekerja kesihatan telah dilaporkan,”
“Sebilangan pekerja kesihatan telah terbunuh sejak 7 Oktober termasuk 88 rakan sekerja UNRWA – jumlah kematian tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang pernah direkodkan dalam satu konflik,” memetik laporan tersebut.