17 Individu Didakwa Pengikut Ajaran Sesat Millah Abraham Ditahan
JOHOR BAHRU, 05 Ogos 2024 – 17 individu ditahan kerana didakwa pengikut kepada ajaran sesat Millah Ibrahim atau Abraham.
Menurut kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Haji Mohd Fared Bin Haji Mohd Khalid, Satu operasi khas iaitu ‘Operasi Milab (Millah Ibrahim/Abraham) telah dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersama Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi berkenaan dijalankan secara serentak di empat daerah iaitu Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat pada 01 Ogos 2024 bagi tujuan membanteras penyebaran ajaran dan fahaman Millah Ibrahim/Abraham.
“Ajaran tersebut difatwakan sesat di Negeri Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Hasil operasi bersepadu tersebut, 17 individu telah diberkas kerana disyaki pengikut kepada ajaran ini. Sebutan semula kes telh ditetapkan pada 6 Ogos 2024.
Justeru, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Johor memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan mengekang sebarang penyebaran ajaran sesat berpandukan enakmen dan perundangan yang berkuatkuasa.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak terpengaruh terhadap fahaman dan ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan hendaklah segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang ajaran yang mencurigakan.