16 Kumpulan, Fahaman Difatwakan Sesat Di Sabah
KENINGAU, 13 Ogos 2024 – Sabah mewartakan sebanyak 16 kumpulan dan fahaman sebagai ajaran sesat, menurut Exco Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Laporan berkata, ia termasuklah Millah Abraham, Ilmu Makrifat, Hizbut Tahrir, Islam Jama’ah, Black Metal dan syiah.
Kata beliau, senarai kumpulan dan fahaman itu dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah selain empat buku iaitu Islam Hadhari Menurut Pandangan Ustaz Haji Ashaari Muhammad, Membela Sunnah Nabawiyyah hasil tulisan Abd Wahab Bustami, Awaluddin Makrifatullah ditulis Haji Muhammad Seman Al-Banjari dan buku-buku Mohd Hairi Nonchi.
“Selain itu, kita juga memantau ajaran sesat Millah Abraham. Pemantauan penguatkuasaan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Perpustakaan peringkat negeri, semalam.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, turut memaklumkan terdapat pengikut ajaran Millah Abraham yang didakwa di Sabah tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka yang didakwa bukan berasal dari Sabah sekali gus meletakkan Sabah sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan gerakan terbabit tidak berkembang di negeri berkenaan.