Tempatan

15 Hamba Abdi Scammer Diterbangkan Pulang Semalam

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 September 2022 – “Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah berjaya menyelamatkan dan membawa pulang seramai 15 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan media.

Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada hari Selasa, 20 September 2022 jam 11.50 malam melalui penerbangan AK 535 dari Phnom Penh.

“Sehingga 21 September 2022, jumlah keseluruhan laporan kes yang diterima oleh KLN membabitkan empat negara (Malaysia, Laos, Myanmar dan Thailand) adalah sebanyak 301 kes,” maklum Wisma Putra dalam satu kenyataan media.

Daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air.

“Selain itu, 34 mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan.”

Kata Wisma Putra lagi, KLN melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus komited dan menggiatkan usaha untuk menyelamatkan para mangsa, seterusnya membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim sebelum ini mendedahkan, sindiket penipuan tawaran pekerjaan luar negara dipercayai memaksa rakyat Malaysia menjadi pelacur selain mengugut untuk diambil organ mereka untuk dijual di pasaran gelap.

“Kita juga mendapat maklumat ada rakyat kita yang dikenakan renjatan elektrik setelah gagal mencapai sasaran pelanggan yang ditipu secara dalam talian dan terdapat keluarga mangsa menunjukkan gambar dikatakan rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh sindiket di Myanmar tetapi dakwaan itu kita belum dapat sahkan,” ujar Hishamuddin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: