Sejarah Hari Ini

14 Februari, Ulang Tahun Terkorbannya Leftenan Adnan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Tahukah anda, 14 Februari merupakan hari terkorbannya Leftenan Adnan? 75 tahun yang lalu, pada tarikh yang sama dengan hari Valentine, Leftenan Adnan telah pergi meninggalkan kita setelah berjuang mempertahankan tanah air tercinta hingga ke titisan darah yang terakhir.

Siapakah Leftenan Adnan? Leftenan Adnan dilahirkan pada tahun 1915 di Sungai Ramal, Kajang. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik. Anak kepada Encik Saidi dan Puan Milah ini merupakan seorang yang rajin dan sangat berani sejak kecil. Beliau bercita-cita menjadi askar demi mempertahankan tanah air daripada serangan musuh seperti idolanya, Hang Tuah.

Selepas menamatkan pengajian, beliau menjawat jawatan sebagai seorang guru. Namun, cita-citanya untuk menjadi seorang askar tidak pernah terpadam. Impian beliau menjadi kenyataan apabila Leftenan Adnan terpilih untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933 sewaktu berusia 18 tahun. Hasil dedikasi dan disiplin yang tinggi, empat tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Leftenan Muda sekaligus ketua Platun ke-7, Kompeni C.

Pengorbanan dan perjuangannya terlihat nyata semasa menentang askar Jepun yang datang untuk menguasai Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia ke-2. Leftenan Adnan telah diarahkan untuk mempertahankan Bukit Candu, Singapura daripada serangan Jepun kerana Bukit Candu merupakan jalan singkat untuk menguasai Singapura. Pasukan Rejimen Askar Melayu yang dipimpin oleh Leftenan Adnan kemudiannya memilih mengadakan pertahanan di satu rabung dipanggil dengan nama Rabung Pasir Panjang.

Kebijaksanaan Leftenan Adnan mengatur strategi dan mengesan kelicikan musuh terbukti apabila beliau dan rakan-rakan seperjuangan berjaya menembak mati 20 orang pihak musuh yang menyamar sebagai orang Sikh dengan memakai serban. Ini menyebabkan pihak musuh berang dan bertindak menyerang kubu Leftenan Adnan secara besar-besaran melalui serangan udara dan serangan artileri.

Walaupun askar Melayu berjuang bermati-matian, namun akhirnya mereka tewas juga di tangan musuh. Tentera Jepun kemudiannya berjaya menangkap Leftenan Adnan yang cedera parah lewat petang 13 Februari 1942.

Marah dan bengang dengan keberanian dan sifat tidak mudah menyerah kalah Leftenan Adnan, pihak Jepun telah mengheret dan menggantung beliau di pokok ceri dari kaki. Mereka kemudiannya berbaris dan lalu di bawah pokok ceri tersebut sambil menikam tubuh Leftenan Adnan dengan bayonet seakan melepaskan amarah dan dendam yang terkumpul. Tidak cukup dengan itu, mereka mengelar leher beliau sehinggalah perwira ini menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ada yang mengatakan bahawa tubuh Leftenan Adnan dibakar selepas itu. Peristiwa menyayat hati ini disaksikan sendiri oleh Koperal Yaakob, rakan seperjuangan beliau yang terselamat dalam pertempuran tersebut dengan berpura-pura mati.

Sikap patriotisma, keberanian dan sanggup mati demi mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman musuh yang dipamerkan oleh Leftenan Adnan mengajar kita agar tidak mudah tertipu dengan strategi musuh yang ingin melihat kejatuhan tanah air kita, Malaysia tercinta. Anak muda zaman ini seharusnya menghargai jasa dan pengorbanan Leftenan Adnan dan Angkatan Tentera dalam mempertahankan Tanah Air kita.

Pada zaman moden ini cara berperang telah berubah, musuh sudahpun berada di kalangan kita, dan sedang menggunakan jarum halus untuk “menjajah” kembali bumi ini. Adakah kita akan membiarkan negara kita ditakluk kembali oleh anasir luar? Sudah tentu tidak.

Berpeganglah kepada peribahasa “biar putih tulang, jangan putih mata.”

Leave a Reply

Back to top button