14 Februari: Cinta, Cita & Perjuangan
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2023 – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 tahun ini merupakan simbolik kepada nombor tentera atau nombor badan Leftenan Adnan yang merupakan tentera dari Rejimen Askar Melayu yang telah mempertahankan tanah air semasa Perang Dunia Kedua.
“Sambutan pada kali ini juga lebih bermakna kerana simbolik nombor 90 yang juga merupakan nombor tentera atau disebut juga nombor badan seorang pejuang tanah air yang tersohor iaitu Leftenan Adnan Saidi,” ujarnya menurut laporan portal tempatan.
14 Februari. Apa yang bermain di fikiran anak muda masa kini ialah tarikh tersebut merupakan tarikh Hari Kekasih yang diraikan di seluruh dunia dengan saling memberi bunga, coklat dan bertukar hadiah.
Tidak ramai yang menyedari bahawa 81 tahun yang lalu, pada 14 Februari 1942 merupakan tarikh negara kehilangan seorang pejuang negara, Leftenan Adnan Saidi yang bermati-matian mempertahankan tanah air dari pendudukan tentera Jepun.
Pada tarikh yang sama dengan hari Valentine, Leftenan Adnan telah pergi meninggalkan kita setelah berjuang mempertahankan tanah air tercinta hingga ke titisan darah yang terakhir.
Kecintaan Leftenan Adnan terhadap Tanah Melayu dan cita-citanya untuk menjadi seorang askar tidak pernah terpadam sedari kecil. Hal ini dapat dilihat di mana beliau mendapat jawatan sebagai seorang guru terlebih dahulu sebelum cita-citanya tertunai pada usia 18 tahun.
Leftenan Adnan terpilih untuk menyertai Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933 sewaktu berusia 18 tahun. Hasil dedikasi dan disiplin yang tinggi, empat tahun selepas itu, beliau dilantik menjadi Leftenan Muda sekali gus ketua Platun ke-7, Kompeni C.
Pengorbanan dan perjuangannya terlihat nyata semasa menentang askar Jepun yang datang untuk menguasai Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia ke-2. Leftenan Adnan telah diarahkan untuk mempertahankan Bukit Candu, Singapura daripada serangan Jepun kerana Bukit Candu merupakan jalan singkat untuk menguasai Singapura. Pasukan Rejimen Askar Melayu yang dipimpin oleh Leftenan Adnan kemudiannya memilih mengadakan pertahanan di satu rabung dipanggil dengan nama Rabung Pasir Panjang.
Kebijaksanaan Leftenan Adnan mengatur strategi dan mengesan kelicikan musuh terbukti apabila beliau dan rakan-rakan seperjuangan berjaya menembak mati 20 orang pihak musuh yang menyamar sebagai orang Sikh dengan memakai serban. Ini menyebabkan pihak musuh berang dan bertindak menyerang kubu Leftenan Adnan secara besar-besaran melalui serangan udara dan serangan artileri.
Walaupun askar Melayu berjuang bermati-matian, namun akhirnya mereka tewas juga di tangan musuh. Tentera Jepun kemudiannya berjaya menangkap Leftenan Adnan yang cedera parah lewat petang 13 Februari 1942.
Marah dan bengang dengan keberanian dan sifat tidak mudah menyerah kalah Leftenan Adnan, pihak Jepun telah mengheret dan menggantung beliau di pokok ceri dari kaki. Mereka kemudiannya berbaris dan lalu di bawah pokok ceri tersebut sambil menikam tubuh Leftenan Adnan dengan bayonet seakan melepaskan amarah dan dendam yang terkumpul.
Tidak cukup dengan itu, mereka mengelar leher beliau sehinggalah perwira ini menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ada yang mengatakan bahawa tubuh Leftenan Adnan dibakar selepas itu.
Peristiwa menyayat hati ini disaksikan sendiri oleh Koperal Yaakob, rakan seperjuangan beliau yang terselamat dalam pertempuran tersebut dengan berpura-pura mati.
Sikap patriotisme, keberanian dan sanggup mati demi mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman musuh yang dipamerkan oleh Leftenan Adnan mengajar kita agar tidak mudah tertipu dengan strategi musuh yang ingin melihat kejatuhan tanah air kita, Malaysia tercinta.